X

Kindly register in order to view this article
!

MDP perlu tingkat khidmat kaunter baharui lesen

Majlis Daerah Penampang (MDP)
A
A

KOTA KINABALU - Majlis Daerah Penampang (MDP) diminta meningkatkan perkhidmatan kaunter pembaharuan lesen perniagaan bagi memudahkan pelanggan agensi berkenaan.

Aktivis sosial, Datuk Patrick Sindu berkata langkah itu perlu dilaksanakan kerana perkhidmatan kaunter pembaharuan lesen perniagaan di pejabat majlis daerah itu tidak efisien menyebabkan pelanggan yang ingin membuat urusan sedemikian terpaksa menunggu lama.

Beliau berkata masalah itu timbul disebabkan hanya dua kaunter di pejabat MDP dibuka untuk urusan pembaharuan lesen perniagaan yang hanya dibuka bermula Rabu lepas.

"Jumlah pelanggan yang ingin memperbaharui lesen perniagaan ramai tetapi kaunter disediakan tidak dapat menampung.

"Ditambah pula, kaunter tersebut hanya menerima bayaran pembaharuan lesen perniagaan sehingga 3.30 petang," katanya di sini.

Patrick berkata beliau sendiri mengambil masa dua hari untuk memperbaharui lesen perniagaannya di MDP disebabkan pada hari pertama Rabu lepas, jumlah mereka yang membuat urusan itu terlalu ramai.

Beliau turut mencadangkan agar tempoh pembaharuan lesen perniagaan itu tidak dihadkan untuk setahun sahaja, tetapi lebih daripada tempoh itu bagi memudahkan pemilik lesen.

Bagi mengelak kesesakan, beliau berkata pihak MDP juga boleh membuka permohonan pembaharuan lesen lebih awal, pada November atau Disember setiap tahun berbanding pelaksanaan dibuat setiap Januari.

Sementara itu, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu melanjutkan operasi kaunter di ibu pejabatnya pada Sabtu dan Ahad bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari, sehingga Mac ini.

Pengarah Pengaduan dan Perhubungan Awamnya, Lizawana Matin dalam satu kenyataan berkata kaunter bergerak turut dibuka di Dewan Damai Luyang pada 7 hingga 8 Januari serta di Pekan Lido (10-11 Januari) dari 9 pagi hingga 2 petang.

Katanya kaunter tetap turut dibuka di tingkat tujuh Centre Point pada Isnin hingga Jumaat dari 8 pagi hingga 5 petang dan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kota Kinabalu pada Isnin hingga Ahad dari 8 pagi hingga 7 malam. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!