Belanjawan 2020: Sarawak peruntuk RM9.891 bilion

Abang Johari
Abang Johari
A
A
A

KUCHING – Sejajar dengan inisiatif Sarawak untuk mentransformasikan kawasan luar bandar dan memastikan tiada yang tertinggal, Belanjawan Pembangunan 2020 akan terus menumpukan kepada luar bandar untuk terus merangsang kemajuan ekonomi dengan cadangan belanjawan sebanyak RM9.891 bilion, kata Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Ketua Menteri itu berkata daripada jumlah belanjawan itu, peruntukan sebanyak RM6.597 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dengan baki sebanyak RM3.294 bilion untuk perbelanjaan operasi.

Abang Johari, yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi Sarawak, berkata mengambil kira anggaran jumlah pendapatan sebanyak RM10.067 bilion dan jumlah cadangan perbelanjaan biasa sebanyak RM9.694 bilion, cadangan Belanjawan 2020 dijangka menjana lebihan sebanyak RM373 juta.

"Kerajaan negeri telah melaksanakan usaha bersepadu untuk meningkatkan aliran pendapatannya melalui penyusunan semula asas pendapatannya untuk membolehkan negeri mengekalkan momentum pembangunannya dan sejajar dengan kadar pembangunan yang pesat terutamanya di kawasan luar bandar yang memerlukan jumlah pembiayaan yang besar.

"Di bawah Belanjawan Negeri 2020, kerajaan negeri memutuskan (antara lain) untuk mengenakan Cukai Jualan Negeri sebanyak satu peratus ke atas produk aluminium yang dieksport dari Sarawak dan menyemak semula tarif untuk pemisahan air mentah daripada satu sen setiap meter padu kepada 2.5 sen setiap meter padu,” katanya semasa membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2020) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Abang Johari berkata, Belanjawan Negeri 2020 diteruskan dengan enam teras strategik utama yang menyasarkan kepada merangsang pertumbuhan ekonomi negeri ke arah pembangunan yang inklusif, mampan dan saksama untuk semua spektrum masyarakat.

Selain belanjawan yang menumpukan kepada luar bandar dan pembangunan di mana sebanyak RM4.141 bilion atau 63 peratus diperuntukkan untuk pembangunan luar bandar, teras lain termasuklah meningkatkan agenda pembangunan negeri ke arah mencapai ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2030, dengan peruntukan yang besar untuk kemudahan asas dan kemudahan serta projek berteraskan rakyat yang lain.

Ekonomi digital juga akan menjadi pembolehubah utama kepada transformasi ekonomi dengan mewujudkan ekosistem digital yang komprehensif dan budaya keusahawanan serta pertumbuhan ekonomi yang dipacu pelaburan, dengan tumpuan kepada aktiviti nilai tambah yang tinggi dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan serta industri berasaskan sumber seperti minyak dan gas, pertanian, bioteknologi dan pemprosesan kayu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sektor swasta akan terus menjadi enjin pertumbuhan ekonomi utama dengan negeri terus memastikan infrastruktur perniagaan yang diperlukan dan dasar mesra perniagaan disediakan.

Katanya, sistem penyampaian perkhidmatan akan dipertingkatkan dengan pelaksanaan Digital Government seperti menyediakan gerbang pembayaran tanpa tunai, perkhidmatan dalam talian sehenti dan sistem data terbuka.

Abang Johari berkata, bagi Belanjawan 2020, sejumlah RM6.597 bilion dicadangkan untuk membiayai pelbagai program dan projek di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas termasuk Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan pelbagai projek berteraskan rakyat dikenali sebagai Projek Rakyat dan Program Perumahan Rakyat Miskin Sarawak.

Beliau berkata, peruntukan sebanyak RM6.597 bilion dalam Belanjawan Negeri 2020, bagaimanapun tidak merangkumi peruntukan untuk projek-projek di bawah pembiayaan alternatif.

Dalam memacu agenda pembangunan negeri dalam cara yang lebih bersepadu, katanya, negeri tidak boleh bergantung kepada kaedah biasa pembangunan pembiayaan melalui peruntukan tahunan daripada belanjawan negeri dan Persekutuan, yang jauh daripada mencukupi terutamanya dalam pembiayaan projek-projek infrastruktur di kawasan luar bandar.

“Kita perlu mengambil langkah yang lebih teguh dan strategik dalam menguruskan inisiatif pembiayaan kita. Ini menggesa kepada negeri untuk memanfaatkan model pembiayaan alternatif dengan memanfaatkan pembiayaan yang disediakan oleh Bank Pembangunan Sarawak (DBoS) dan pasaran modal yang menawarkan pembiayaan alternatif yang berdaya saing.

“Ini adalah platform yang mampan untuk digunakan dalam memudahkan dan menyediakan negeri dengan fleksibiliti fiskal yang amat diperlukan dalam merancang agenda pembangunannya dan menguruskan aliran tunainya pada masa depan.

“Oleh itu, projek infrastruktur dan kemudahan asas yang dinanti-nantikan dapat dilaksanakan dengan cepat di seluruh negeri dan dinikmati oleh rakyat terutamanya masyarakat luar bandar kami," katanya.

Beliau berkata, pembiayaan alternatif ini dengan belanjawan tahunan negeri akan menjadi inisiatif pembiayaan untuk membiayai projek-projek Rancangan Malaysia Kesebelas yang sedang dilaksanakan hingga Rancangan Malaysia Kedua Belas.

- Bernama