X

Kindly register in order to view this article
!

21 kes arak tiruan di Petaling Jaya

Azizan (dua dari kanan) menunjukkan gimik pelupuskan arak tiruan di Kompleks Penyimpanan Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP di sini hari ini.
A
A

NILAI - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Petaling Jaya, Selangor merekodkan sebanyak 21 kes arak tiruan dengan nilai rampasan sebanyak RM350, 256.68 pada tahun 2016 sehingga Oktober tahun ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Selangor, Azizan Abdullah berkata, kompaun keseluruhan ialah RM35,500 membabitkan denda di mahkamah sebanyak RM22,200.

Menurutnya, antara kes paling besar ialah rampasan 3,500 arak tiruan dianggarkan bernilai RM200,000 di sebuah rumah teres di Subang Jaya, Selangor pada April 2017.

"Kita dapati rumah yang disewa itu dijadikan lokasi memproses arak tiruan dengan menggunakan botol arak berjenama terpakai bagi mengaburi mata pembeli.

"Arak berkenaan akan dijual di sekitar kedai di Lembah Klang. Semua kes itu sudah selesai dan barang kes juga dilupuskan,” katanya pada sidang akhbar program Pelupusan Eksibit Pejabat KPDNHEP Petaling Jaya di Kompleks Penyimpanan Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP di sini hari ini.

Beliau berkata, mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 8(2) Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu denda RM15,000 bagi pertubuhan perbadanan dan RM30,000 bagi kesalahan kedua atau berikutnya.

Katanya, jika bukan pertubuhan perbadanan denda tidak melebihi RM10,000 dan RM20,000 bagi kesalahan kedua atau berikutnya atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Selain itu katanya, dari Januari sehingga Oktober ini, sebanyak 10,608 premis perniagaan telah diperiksa dengan 163 kes direkodkan melibatkan pelbagai akta.

Beliau berkata, ia melibatkan nilai rampasan sebanyak RM356, 414.50 membabitkan kompaun sebanyak RM117,100.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!