Bicara kes tipu bekas jurutera pesawat 17 Januari depan

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 17 Januari tahun depan bagi perbicaraan kes seorang lelaki atas tuduhan menipu seorang bekas jurutera pesawat Malaysia Airlines Berhad berkaitan aktiviti pengubahan wang haram, September lepas.

Hakim, Diana Md Razali menetapkan tarikh itu pada prosiding sebutan semula kes itu hari ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nuralis Mat memaklumkan pihaknya telah menyerahkan semua dokumen berkaitan kes kepada peguam A. Partheeban yang mewakili tertuduh, Muhamad Hasim Zulfahmi, 32.

Pada 4 Oktober lalu, Muhamad Hasim mengaku tidak bersalah telah memperdayakan Mohd Sharif Kamso, 64, supaya menyerahkan wang tunai RM100,000 yang dimasukkan ke dalam akaun tertuduh.

Wang itu diberikan kononnya mangsa didapati terlibat aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM1.48 juta yang tidak wujud yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang tersebut kepada tertuduh sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu bersama seorang suspek yang masih bebas di RHB Bank cawangan Bandar Baru Nilai, kira-kira 1.30 tengah hari, 24 September lalu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, Hakim Diana menetapkan 16 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes seorang lelaki yang didakwa menipu seorang ahli perniagaan untuk membeli pingat atau gelaran darjah kebesaran daripada kerajaan Melaka dua tahun lepas.

Sebutan semula itu bagi tujuan penyerahan beberapa dokumen yang masih belum lengkap termasuk penyata akaun.

Artikel Berkaitan:

Mengikut pertuduhan, Tuan Mochtar Tuan Abdul Malek, 34, didakwa telah menipu Lim Siang Yoong, 39, dengan memperdayakan mangsa untuk mempercayai bahawa tertuduh boleh membantu mendapatkan pingat atau gelaran darjah kebesaran daripada kerajaan negeri Melaka dengan menerima sejumlah wang tunai sebanyak RM650,000 di Green Technology Park Seremban 2, pada 20 Oktober 2017 hingga 10 Disember 2017.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan turut dikendalikan Nuralis manakala tertuduh diwakili peguam Saiful Dzulhelmi. - Bernama