Sukan platform pupuk semangat perpaduan

Dr Ang pada satu program seni bela diri yang dihadiri Exco Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin,
Dr Ang pada satu program seni bela diri yang dihadiri Exco Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin,
A
A
A
SEBAGAI sebuah negara yang berbilang kaum dan agama, keamanan serta kesejahteraan membuatkan Malaysia bertunjangkan kepada perpaduan, pemuafakatan dan sikap saling menghormati dalam kalangan rakyatnya.

Tanpa teras itu, pasti nikmat keamanan dan kesejahteraan seperti dinikmati rakyat negara ini sejak sekian lama tidak dapat dicapai.

Berpegang kepada prinsip itu, Master Dr Ang Kee Wah, 57, memainkan peranannya sebagai rakyat yang bertanggungjawab dengan memastikan nilai-nilai kesepakatan dalam kalangan kaum di Malaysia terus dipupuk untuk mengangkat semangat kitalah Malaysia.

Sukan mampu menjadi platform terbaik dalam menyatukan masyarakat pelbagai kaum.
Sukan mampu menjadi platform terbaik dalam menyatukan masyarakat pelbagai kaum.

Bagi sosok yang lebih mesra dipanggil Dr Ang ini, terpulang kepada individu atau sesebuah kumpulan itu bagaimana mahu menterjemahkan semangat mengangkat dan memperkasakan nilai kekitaan sebagai rakyat untuk memacu masa depan negara yang lebih baik.

Katanya, beliau ada cara tersendiri dan pembabitannya dalam persatuan sukan serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan di negeri Pahang dijadikan platform untuk memupuk perpaduan sekali gus menyemarakkan semangat kitalah Malaysia dalam kalangan kaum khususnya di peringkat awal.

Bernaung di bawah Persatuan Taekwondo Negeri Pahang, beliau menjadikan persatuan itu sebagai contoh terbaik bukan sahaja dalam usaha mengangkat martabat sukan seni mempertahankan diri itu dalam kalangan masyarakat malah ia menjadi platform penyatuan kaum di negeri Pahang.

Sepakat

Sebagai Naib Presiden Persatuan Taekwondo Negeri Pahang dan Naib Presiden Persekutuan Taekwon-Do Global Malaysia (MGTF), Dr Ang melihat pembabitan atletnya yang terdiri daripada pelbagai kaum membuka satu ruang ke arah matlamat tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sebagai Ketua Jurulatih pasukan Teakwon-Do Pahang, Dr Ang bangga dapat melatih pelatih-pelatih daripada semua kaum.
Sebagai Ketua Jurulatih pasukan Teakwon-Do Pahang, Dr Ang bangga dapat melatih pelatih-pelatih daripada semua kaum.

“Kita ada kira-kira 1,000 ahli dan barisan ahli jawatankuasanya yang berbilang kaum, agama serta budaya dari seluruh Pahang.

“Kita bergerak sebagai satu pasukan demi matlamat meningkat mutu sukan Taekwondo dan pada masa sama dengan semangat kerjasama, hormat-menghormati serta disiplin yang tinggi.

“Ia turut mengeratkan lagi persepakatan dalam memburu kejayaan dalam kejohanan di semua peringkat,” katanya.

Beliau berkata, pemupukan semangat dan penyatuan dalam pasukan mampu diterjemahkan semua ahli dalam kehidupan seharian mereka di luar termasuk dalam hubungan dengan rakan-rakan daripada kaum lain.

“Itu yang saya amat harapkan kerana siapa pun kita, baik Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain, kita adalah rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, Persatuan Taekwondo Negeri Pahang tidak hanya tertumpu kepada latihan untuk kejohanan semata-mata, sebaliknya mereka turut terlibat dalam pelbagai aktiviti dalam membangkitkan semangat cintakan negara.

Dr Ang pada salah satu majlis perasmian kejohanan teakwon-do yang dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail baru-baru ini.
Dr Ang pada salah satu majlis perasmian kejohanan teakwon-do yang dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail baru-baru ini.

“Misalnya, kami turut terlibat dalam perbarisan sempena hari kemerdekaan peringkat negeri dan demonstrasi seni mempertahankan diri pelbagai kaum.

“Usaha-usaha ini dilakukan supaya ahlinya terutama dalam kalangan pelajar sentiasa berpegang kepada prinsip cintakan negara dengan taat kepada raja dan negara, menghormati pemimpin, berpegang kepada prinsip rukun negara, menghormati perlembagaan dan patuh kepada undang-undang,” katanya.

Dr Ang berkata, kejayaan Malaysia adalah kerana perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan hidup rakyatnya justeru perpaduan dalam kalangan rakyat perlu terus dipupuk untuk memastikan negara terus disanjung tinggi, maju dan menjadi contoh kepada dunia.

Anak kelahiran Kuantan itu berkata, beliau yang sudah 42 tahun terlibat dalam sukan Taekwondo melihat sukan itu kini mula diterima semua masyarakat dan tidak didominasikan atlet daripada kaum tertentu sahaja.

“Ini menunjukkan satu perkembangan yang amat positif, justeru tidak salah jika saya katakan persatuan-persatuan sukan dan sukan sukan itu sendiri mampu menjadi platform terbaik dalam memupuk perpaduan khususnya di peringkat awal.

“Jangan sesekali persatuan sukan atau NGO terlibat dalam politik perkauman kerana ia sebenarnya mengundang perpecahan yang langsung tidak membawa untung kepada mana-mana pihak,” katanya.