Cuti bersalin 90 hari: Organ reproduktif kembali sihat selepas 44 hari

KEPERLUAN bercuti antara 90 hingga 120 lebih menjurus kepada peluang penyusuan susu ibu secara eksklusif.
KEPERLUAN bercuti antara 90 hingga 120 lebih menjurus kepada peluang penyusuan susu ibu secara eksklusif.
A
A
A

PERUNDING Obstetrik & Ginekologi Hospital Islam Az Zahrah, Bangi, Selangor, Dr Rusinahayati Mokhtarudin menjelaskan, dari sudut kesihatan dan perubatan, postpartum merupakan tempoh 42 hari selepas melahirkan.

Dalam tempoh berkenaan kebanyakan organ reproduktif wanita pulih seperti keadaan sebelum hamil. Ini termasuklah, rahim, vagina, otot dan ligamen otot reproduktif mengecut akan kembali pada kedudukan asal.

"Perubahan fisiologi dan anatomi yang berlaku sepanjang tempoh kehamilan amat banyak mengikut trimester. Misalnya, semasa trimester pertama (sehingga 12 minggu hamil), hormon progesteron dan estrogen akan meningkat.

"Ibu hamil akan berasa mual, muntah, pedih hulu hati dan pening kepala termasuk otot-otot menjadi lebih lembut. Seterusnya, minggu kedua trimester pula (12-22 minggu) volum darah meningkat sehingga 50 peratus.

"Sementara itu, pada minggu 22 hingga 40 minggu, wanita mengandung mengalami perasaan pendek bernafas kerana otot diaphragm tidak dapat berkembang secara maksimum. Ini disebabkan, rahim dan bayi memenuhi rongga abdomen,” jelasnya ketika ditemui Femina di Hospital Islam Az Zahrah, Bangi, Selangor baru-baru ini.

Namun begitu, ketidakselesaan yang dialami tersebut akan beransur lega selepas selamat melahirkan cahaya mata dan menjalani tempoh berpantang.

"Lazimnya, organ-organ akan sembuh dalam tempoh 42 hari. Sebab itulah, jika diperhatikan berpantang secara tradisional dalam masyarakat Melayu diamalkan antara 42 hingga 44 hari sahaja kerana jumlah hari berkenaan memadai untuk organ reproduktif kembali asal.

"Bagaimanapun, untuk mendapatkan saiz bentuk badan yang asal atau ideal dan ketegangan otot abdomen, para wanita harus melakukan senaman sebaik sahaja luka bersalin sembuh sepenuhnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

RUSINAHAYATI
RUSINAHAYATI

Mengulas lanjut mengenai tempoh cuti bersalin yang sewajarnya, Rusinahayati menjelaskan, keperluan bercuti antara 90 hingga 120 lebih menjurus kepada keperluan penyusuan susu ibu.

"Sebelum ini, cuti bersalin ditetapkan majikan hanya selama 42 hari. Cuti yang singkat ini telah menyebabkan ramai ibu gagal memberikan penyusuan badan dan bonding bersama anak bagi tempoh panjang.

"Hakikatnya, penyusuan penuh amat digalakkan oleh kerajaan selaras polisi penyusuan yang mana golongan ibu digalakkan memberikan susu badan selepas anak dilahirkan sehingga berusia enam bulan dan mencapai umur dua tahun,” terang beliau.

Tambah beliau, penyusuan ibu perlu dimulai dengan proses sentuhan kulit bayi ke kulit ibu. Atas faktor tersebut, di hospital bayi akan diletakkan sebilik bersama ibu supaya memudahkan proses penyusuan susu badan apabila mereka lapar.

"Susu awal atau kolostrum yang keluar antara tempoh dua hingga tiga hari sebelum susu sebenar keluar adalah paling baik kerana ia mempunyai protein dan antibodi tinggi.

"Justeru, pemakanan ibu yang mengandungi protein tinggi seperti ikan, susu dan telur selain minum air mencukupi penting untuk tingkatkan pengeluaran susu," katanya.

NIZHA
NIZHA

Sementara itu, ibu kepada dua cahaya mata, Nizha Periaswamy turut menyahut inisiatif kerajaan untuk memanjangkan tempoh cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari yang berkuat kuasa mulai tahun 2021.

Nizha yang juga penulis kesihatan dan guru yoga berkata, apabila cuti bersalin dilanjutkan, maka para ibu berpeluang memberikan susu badan secara terus dalam tempoh yang lebih lama.

"Pada masa sama, kami kaum ibu dapat merehatkan badan dengan sebaik-baiknya.

"Ini disebabkan tempoh berpantang sedikit meletihkan apabila perlu bersengkang mata menyusukan anak termasuk mengurus hal-hal sampingan," jelas wanita berusia 38 tahun itu.

Artikel berkaitan: https://www.sinarharian.com.my/article/55076/SISIPAN/Femina/cuti-bersalin-90-hari