PTPTN optimis teruskan kerjasama semai budaya menabung menerusi SSPN

Pengurus Besar Negeri, Pejabat PTPTN Kuala Lumpur (Utara), Ahmad Fahmin Haris (belakang, tiga dari kiri) dan Pengarah Sime Darby Sunrise Development Sdn Bhd, Kenny Wong (belakang, empat dari kiri) bersama lapan peserta finalis akhir termasuk tiga pemenang utama pertandingan ‘Camera Rolling and... Action!’ selepas majlis penyampaian hadiah di Radia Bukit Jelutong. - Foto ihsan PTPTN
Pengurus Besar Negeri, Pejabat PTPTN Kuala Lumpur (Utara), Ahmad Fahmin Haris (belakang, tiga dari kiri) dan Pengarah Sime Darby Sunrise Development Sdn Bhd, Kenny Wong (belakang, empat dari kiri) bersama lapan peserta finalis akhir termasuk tiga pemenang utama pertandingan ‘Camera Rolling and... Action!’ selepas majlis penyampaian hadiah di Radia Bukit Jelutong. - Foto ihsan PTPTN
A
A
A

SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) optimis untuk meneruskan kolaboratif dengan lebih banyak pihak pada masa akan datang bagi mempromosikan budaya penabungan pendidikan melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN, Mastura Mohd Khalid berkata, pihaknya yakin bentuk kerjasama seperti itu, jika dilakukan bersama agensi swasta mahupun kerajaan akan lebih berkesan serta membantu dalam memberikan kesedaran atau pendedahan kepada masyarakat Malaysia tentang perlunya simpanan pendidikan khususnya kepada anak-anak.

Beliau berkata, perancangan simpanan pendidikan amat penting bagi memastikan cita-cita dan impian anak-anak tercapai, selain mereka dapat menamatkan pengajian kelak tanpa bebanan hutang atau hanya mempunyai hutang pendidikan minimum.

"Sebagai contoh, PTPTN baru saja melaksanakan kerjasama strategik bersama UEM Sunrise menerusi pertandingan pencarian bakat kanak-kanak 'Camera Rolling and... Action!' yang dianjurkan pemaju hartanah itu, di mana pemenang menerima hadiah wang tunai melalui dua produk simpanan SSPN iaitu SSPN-i dan SSPN-i Plus.

"Melalui kerjasama ini, kita tawarkan hadiah keseluruhan merangkumi kedua-dua produk tersebut kepada 25 pemenang bernilai RM23,280," katanya ketika ditemui pada Majlis ‘Camera Rolling and... Action!’ anjuran UEM Sunrise di Radia Bukit Jelutong, di sini kelmarin.

Menurutnya, PTPTN sangat gembira dan berterima kasih kerana SSPN dijadikan sebagai pilihan utama oleh penganjur dalam memberikan hadiah kepada pemenang untuk pertandingan tersebut.

"Sebab itu kita sangat menggalakkan atau mengalu-alukan kerjasama seperti itu atau lain-lain bentuk kerjasama daripada pelbagai agensi swasta mahupun kerajaan.

"Melalui kerjasama ini juga, kita mahu ke depan dan menonjolkan PTPTN sebagai penyedia produk simpanan melalui SSPN dan bukan hanya dilihat sebagai pemberi pinjaman. Kita yakin setiap masyarakat Malaysia akan mempunyai simpanan masing-masing untuk tujuan pendidikan, sekali gus mampu membudayakan penabungan di minda masyarakat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Mastura berkata, produk SSPN itu memberikan manfaat yang cukup istimewa untuk masyarakat Malaysia khususnya ibu bapa yang membuat simpanan untuk anak-anak mereka.

Mastura (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang saguhati pertandingan 'Camera Rolling and... Action!' di Radia Bukit Jelutong. - Foto ihsan PTPTN
Mastura (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang saguhati pertandingan 'Camera Rolling and... Action!' di Radia Bukit Jelutong. - Foto ihsan PTPTN

Beliau berkata, SSPN merupakan satu-satunya pelan simpanan yang memberikan pelepasan taksiran cukai dan sebagai galakan kepada mereka yang berpendapatan RM4,000 dan ke bawah untuk menabung, Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak turut diberikan jika mereka membuat simpanan dalam SSPN-i.

"Kita turut menyediakan perlindungan takaful bagi simpanan SSPN bagi melindungi pendeposit dan memastikan anak-anak tetap dapat meneruskan pengajian walaupun kematian ibu bapa.

"Bagi simpanan SSPN-i perlindungan takaful percuma diberikan oleh PTPTN sekiranya simpanan mencapai RM1,000 dan ke atas, sementara SSPN-i Plus diberikan serta merta dengan perlindungan takaful daripada RM40,000 hingga RM1 juta," katanya.

Menurutnya, bagi menggalakkan lagi usaha penabungan di kalangan masyarakat, PTPTN turut membuat promosi Cabutan Hadiah SSPN 2019, di mana hadiah utama ditawarkan untuk Cabutan 15 Tahun SSPN-i adalah wang tunai lebih RM151,000, manakala Cabutan WOW! SSPN-i Plus adalah kereta ProtonX70 Premium.

Pengurus Besar Negeri, Pejabat PTPTN Kuala Lumpur (Utara), Ahmad Fahmin Haris (belakang, tiga dari kiri) dan Pengarah Sime Darby Sunrise Development Sdn Bhd, Kenny Wong (belakang, empat dari kiri) bersama lapan peserta finalis akhir termasuk tiga pemenang utama pertandingan ‘Camera Rolling and... Action!’ selepas majlis penyampaian hadiah di Radia Bukit Jelutong.