X

Kindly register in order to view this article
!

Haramkan basikal lajak tanggungjawab bersama

A
A

ISU basikal lajak kembali menjadi bualan sepanjang minggu lalu setelah Mahkamah Majistret Johor Bahru melepas dan membebaskan seorang jurujual wanita daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak pada 18 Februari 2017.

Seperti tidak terkesan dengan keputusan mahkamah itu, satu klip rakaman video yang memaparkan sekumpulan remaja menunggang basikal lajak secara berbahaya pula tular di media sosial yang dikatakan berlaku di Tasik Tambahan, Ampang, Selangor.

Hasilnya, pihak polis berjaya menahan empat buah basikal lajak bersama penunggang yang kesemuanya remaja lelaki tempatan berumur lingkungan 11 hingga 15 tahun.

Bagi ibu bapa kepada lapan remaja yang terkorban itu, pastinya mereka amat sedih dengan keputusan yang dibuat oleh mahkamah. Namun isu basikal lajak membabitkan remaja berusia belasan tahun ini seharusnya diselesaikan secepat mungkin.

Kita menyambut baik cadangan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang kini bersedia mencari pendekatan baharu bagi menangani masalah itu yang semakin berleluasa di negara ini.

Menurut Ketua Pengarah JPJ, Shaharuddin Khalid, dalam peraturan JPJ, setiap basikal yang berada di atas jalan raya hendaklah dikayuh secara beriringan, bersopan serta tidak melulu.

Selain itu, katanya, dalam terma JPJ sesebuah basikal mestilah bersifat secara menyeluruh atau sempurna iaitu perlu mempunyai brek, loceng, lampu, rantai serta tayar yang bersesuaian.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, basikal lajak yang boleh mendatangkan bahaya kepada penunggangnya dan pengguna jalan raya yang lain sememangnya haram berada di atas jalan raya.

Sesungguhnya pengharaman basikal lajak perlu dilakukan secara menyeluruh kerana ia memudaratkan keselamatan awam.

Bagi pihak ibu bapa, peranan mendidik dan mencegah anak-anak mereka daripada terbabit kegiatan tidak berfaedah itu amatlah penting.

Selain itu, pihak berkuasa juga perlu lebih tegas dalam menjalankan penguatkuasaan dengan mengharamkan penjualan basikal lajak di negara ini, sama ada di kedai ataupun dalam talian.

Demi keselamatan semua orang, ketegasan kerajaan untuk mengharamkan basikal lajak sepatutnya disokong tanpa sebarang pertikaian.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!