X

Kindly register in order to view this article
!

SOSMA tidak jamin perbicaraan adil

A
A

MUTAKHIR ini, ramai pihak yang berbincang mengenai Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) khususnya mengenai kuasa polis untuk menangkap dan menahan mana-mana orang disyaki terlibat dalam ‘kesalahan keselamatan’ sehingga 28 hari.

Hujah mengenai mengapa SOSMA diperlukan juga banyak berkisar pada keperluan kuasa khas diberikan kepada polis untuk menyiasat kes-kes berkenaan dengan terrorisme dan sebagainya.

Akan tetapi perbincangan mengenai SOSMA ini tidak banyak menyentuh pada kesan SOSMA apabila seseorang tertuduh itu dituduh di mahkamah dengan mana-mana ‘kesalahan keselamatan’. Sekiranya seseorang dituduh melakukan salah satu daripada kesalahan keselamatan tersebut, orang itu akan dibicarakan bawah peruntukan SOSMA.

Seseorang yang dituduh di bawah kesalahan keselamatan ini tidak boleh dijamin melainkan sekiranya tertuduh adalah bawah umur, seorang wanita atau seorang yang sakit atau uzur.

Malahan sekiranya seseorang didapati tidak bersalah sekalipun pada akhir perbicaraan, orang yang dituduh masih tidak boleh dibebaskan oleh mahkamah sehinggalah proses rayuan dilupuskan di mahkamah atasan jika terdapat permohonan pendakwa raya.

Ini bermakna, tertuduh ‘dihukum’ sepanjang proses undang-undang sedang berlangsung di mahkamah dan ia bertentangan dengan prinsip bahawa seseorang itu tidak boleh dihukum selagi tidak dibuktikan bersalah.

SOSMA juga mempunyai peruntukan yang bertentangan dengan peraturan keterangan dan pembuktian yang termaktub dalam Akta Keterangan. Contohnya, menurut Seksyen 18A SOSMA, apa-apa pernyataan oleh seseorang tertuduh sama ada secara lisan atau bertulis kepada mana-mana orang pada bila-bila masa hendaklah diterima sebagai keterangan.

Maka, apa yang selalu terjadi dalam kes-kes melibatkan tahanan SOSMA ialah individu yang ditahan akan diberi tekanan untuk menandatangani suatu pengakuan di bawah Seksyen 18A SOSMA dan yang kemudian digunakan di mahkamah. Kebolehterimaan pengakuan itu tidak boleh dicabar kerana wujud peruntukan Seksyen 18A.

Di samping itu, terdapat juga peruntukan lain dalam SOSMA yang berat sebelah seperti penggunaan saksi terlindung yang tidak diketahui identitinya di bawah Seksyen 14 SOSMA, kebolehterimaan semua barang dan dokumen yang disita dalam apa jua keadaan sekalipun di bawah Seksyen 20 SOSMA dan lain-lain.

Kesan keseluruhan peruntukan itu adalah individu yang dituduh di bawah kesalahan keselamatan dan dibicarakan di bawah SOSMA tidak mendapat perbicaraan yang adil.

Maka, dalam pengalaman saya mengendalikan kes yang dibicarakan bawah SOSMA, sebahagian besar individu yang didakwa melakukan kesalahan keselamatan akan mengaku salah, manakala yang minta untuk dibicarakan selalunya akan berakhir dengan sabitan.

Mereka yang mengkritik SOSMA tidak menentang usaha untuk membanteras dan melawan terrorisme atau mana-mana ancaman terhadap keselamatan dalam negeri. Tidak dinafikan bahawa sememangnya ada keperluan untuk undang-undang khas dalam menyiasat dan membanteras ancaman terhadap keselamatan dalam negeri.

Akan tetapi, mana-mana undang-undang mestilah menjunjung prinsip keadilan dan hak asasi manusia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Selepas siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa dan individu didakwa di mahkamah, tidak ada lagi keperluan untuk peruntukan khas yang berpihak kepada pihak pendakwaan dalam membuktikan pertuduhan terhadap tertuduh.

Keterangan dan pembuktian yang didapati semasa siasatan yang menyebabkan pendakwa raya membuat keputusan untuk mendakwa, sepatutnya sudah mencukupi untuk membuktikan kes pendakwaan seperti kes-kes jenayah lain.

Sekiranya tidak dimansuhkan terus sekalipun, kerajaan sekurang-kurangnya wajar mengeluarkan peruntukan zalim dalam SOSMA seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan.

* Syahredzan Johan ialah seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur