Terengganu Turtles tetap bangga

Antara aksi menarik ketika KL Thunder menentang Terengganu Turtles di Stadium Indera Mulia, Ipoh semalam.
Antara aksi menarik ketika KL Thunder menentang Terengganu Turtles di Stadium Indera Mulia, Ipoh semalam.
A
A
A

TERENGGANU Turtles terpaksa berpuas hati berada di tangga kesembilan selepas mengakhiri saingan Liga Premier Liga Sepak Takraw (STL) 2019 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak.

Pada aksi terakhir menentang Kuala Lumpur (KL) Thunder itu, Terengganu Turtles ternyata gagal menyaingi kehebatan lawan mereka apabila tewas straight set 16-21, 15-21.

Pengurus Terengganu Turtles, Shafiee Sulong berkata, beliau tetap berbangga dengan prestasi anak-anak buahnya yang terdiri daripada barisan pemain junior sepanjang lapan minggu berentap dalam STL kali ini.

“Walaupun junior, para pemain tetap memberi persembahan terbaik dan saya berbangga apabila budak baru ini dapat bersaing dengan orang lama dan mereka matang apabila berhadapan dengan lawan.

“Ini adalah pendedahan terbaik untuk mereka sebagai satu persiapan bagi menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) 2020 nanti. Sudah tentu kita akan memperbaiki lagi prestasi untuk liga (STL) tahun hadapan,” katanya.

Mengulas aksi menentang KL Thunder, Shafiee memberitahu, kemasukan pemain import, Phutawan Sopa pada set kedua nyata berjaya menghiburkan para penonton yang hadir ke stadium.

“Secara peribadi, saya melihat kemasukan Phutawan bukan untuk mengejar mata mahupun memperbaiki kedudukan, sebaliknya sebagai ‘hadiah’ kepada penonton” ujarnya.

Sementara itu, Jurulatih KL Thunder, Azhar Sarabini optimis pasukannya mampu memperbaiki kedudukan apabila mempunyai baki satu perlawanan menentang Negeri Sembilan Antlers.

Artikel Berkaitan:

“Kalau nak kejar Kelantan Warriors agak sukar kerana mereka memperoleh 22 mata tetapi kita ada peluang untuk bersaing. Sekarang kita akan rebut tempat keenam apabila berdepan Negeri Sembilan Antlers.

“Hari ini (semalam) kita bawa tekong baharu untuk bermain. Meskipun melakukan beberapa kesilapan, kami mempertaruhkannya bagi membolehkan dia menyesuaikan diri dengan suasana pada perlawanan akan datang,” katanya.