'Penjaga' hutan Amazon maut ditembak

Guajajara merupakan anggota Guardians of the Forest, sebuah kumpulan yang ditubuhkan untuk memerangi aktiviti pembalakan haram di sekitar Amazon.
Guajajara merupakan anggota Guardians of the Forest, sebuah kumpulan yang ditubuhkan untuk memerangi aktiviti pembalakan haram di sekitar Amazon.
A
A
A

BRASILIA - Seorang pemuda pribumi yang juga 'penjaga' hutan hujan Amazon maut ditembak, manakala seorang lagi rakannya cedera selepas insiden berbalas tembakan dengan pembalak haram pada Jumaat lalu.

Paulo Paulino Guajajara yang merupakan anggota Guardians of the Forest, sebuah kumpulan yang ditubuhkan untuk memerangi aktiviti pembalakan haram diserang dan kepalanya ditembak ketika dia keluar berburu di kawasan dilindungi Arariboia di Maranhao.

Insiden pembunuhan itu meningkatkan lagi kebimbangan tentang keganasan yang semakin meningkat terhadap pelindung hutan hujan Amazon yang dianggap sebagai paru-paru bumi kerana menyumbang 20 peratus oksigen kepada atmosfera.

Sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan, Survival International yang menyokong komuniti terpencil itu memaklumkan, sekurang-kurangnya tiga 'penjaga' terbunuh bersama ahli keluarga mereka sebelum ini.

Menteri Kehakiman, Sergio Moro berkata, polis Persekutuan akan menyiasat insiden itu dan mereka yang bertanggungjawab bakal diheret ke muka pengadilan.

Menurut polis, salah seorang pembalak haram turut terbunuh dalam kejadian berbalas tembakan itu.

Pada September lalu, seorang pegawai yang ditugaskan untuk melindungi penduduk pribumi juga dibunuh di bandar Tabatinga.

Presiden Brazil, Jair Bolsonaro terus dikritik banyak pihak kerana gagal melindungi wilayah timur Amazon yang dilindungi Guardians of the Forest.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga sering menyatakan sokongan terhadap golongan peladang dan pembalak di kawasan itu. - Agensi