Polis kesan individu khianat, fitnah JPJ

Laporan berhubung kejadian yang disiarkan Sinar Harian sebelum ini. Gambar kecl: Aidi
Laporan berhubung kejadian yang disiarkan Sinar Harian sebelum ini. Gambar kecl: Aidi
A
A
A

KUALA NERUS - Polis kini sedang mengesan beberapa individu yang dipercayai terlibat dalam kes khianat dan fitnah terhadap anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam insiden pada 21 Oktober lalu.

Ia susulan laporan dibuat oleh JPJ Terengganu selepas kenderaan jabatan itu dirosakkan, selain pasukan penguat kuasa berkenaan dituduh melakukan operasi bagi mendapatkan ‘duit kopi’ berhampiran kemalangan dekat Kampung Tok Dor, Ajil, Hulu Terengganu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, walaupun sudah hampir dua minggu kemalangan itu berlaku, mereka yang terbabit dalam insiden itu masih belum tampil bagi membantu siasatan.

“Kita percaya mereka ini penduduk setempat dan kita sedang mengesan mereka bagi membantu siasatan.

“Setakat ini, kita masih belum membuat sebarang tangkapan tetapi ada tiga hingga empat saksi bebas telah dipanggil bagi mengumpul keterangan, termasuk keterangan daripada anggota JPJ terlibat.

“Ia masih dalam tindakan bahagian siasatan jenayah dan tindakan seterusnya akan diambil setelah mempunyai bukti yang mencukupi,” katanya selepas mengadakan Program Ronda Cegah Jenayah bermula di Skim Rondaan Sukarela (SRS) Bukit Tunggal, Taman Perumahan Gong Badak, Teluk Ketapang dan berakhir di Drawbridge, malam tadi.

Aidi berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan JPJ Terengganu membuat laporan polis berhubung fitnah yang disebarkan terhadap anggota jabatan itu sehingga mengundang kemarahan orang ramai, susulan kemalangan yang berlaku di Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi, berhampiran Kampung Tok Dor, Ajil di Hulu Terengganu pada 21 Oktober lalu.

Artikel Berkaitan:

Dalam insiden berkenaan, kenderaan JPJ turut dirosakkan apabila ketiga-tiga anggota JPJ yang menjalankan tugas di lokasi itu didakwa menjadi punca kemalangan.

Rakaman video kejadian itu yang berdurasi 1 minit 59 saat juga tular, menunjukkan terdapat lelaki yang mencabar anggota JPJ untuk bertumbuk, selain menuduh pasukan penguat kuasa itu melakukan operasi bagi mendapatkan ‘duit kopi’.

ARTIKEL BERKAITAN: Ancam dan rosakkan kenderaan, JPJ buat laporan polis