Ketiadaan tiga tonggak jejas persembahan Kedah

Baddrol (kiri) mengasak pemain JDT, Leandro Velazquez pada final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.
Baddrol (kiri) mengasak pemain JDT, Leandro Velazquez pada final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.
A
A
A

KAPTEN Kedah, Baddrol Bakhtiar mengakui bahawa ketiadaan dua tonggak yang digantung perlawanan memberi impak kepada mutu persembahan Lang Merah ketika tewas 0-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada final Piala Malaysia malam tadi.

Menurutnya, pada masa sama kecederaan yang dihadapi penyerang Fernando Rodriguez juga menyaksikan juara Liga Super berkenaan mendominasi 90 minit perlawanan.

“Memang kami rasai ketiadaan Renan (Renan Alves), Mohd Rizal (Mohd Rizal Mohd Ghazali) dan Fernando di saat akhir, tetapi itu lah bola sepak.

"Malam ini bukan rezeki kami dan kami masih positif insya-ALLAH mungkin kami akan sekali lagi ke Bukit Jalil (musim depan),” jelas Baddrol.

Di bawah bimbingan ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak, Baddrol percaya pembaharuan yang disuntik jurulatih kelahiran Singapura berusia 42 tahun itu, akan menjadikan Kedah sebagai antara pasukan terbaik dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Aidil Sharin berjaya membawa Kedah menjuarai Piala FA dan menamatkan saingan Liga Super di tempat keempat dalam tempoh kurang setahun sejak dilantik pengendali pasukan pada Oktober 2018.

“Sebagai pemain profesional, kita (pemain) kena fokus lagi untuk ke depan dan terus melihat dengan positif serta berusaha lebih keras.

“Tahun depan masih ada lagi...Insya-ALLAH, Kedah akan jadi pasukan yang terbaik sebab kami baru 10 bulan membentuk pasukan,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan.

Artikel Berkaitan:

Kedah yang mara ke final Piala Malaysia buat kali keempat dalam tempoh lima tahun, musim ini mempamerkan semangat juang tinggi dalam perjalanan ke pentas akhir, termasuk kejayaan menyingkirkan Pahang menerusi keputusan agregat 8-8 di separuh akhir.

Kekalahan Kedah menyaksikan pasukan utara tanah air itu mencatat kekalahan kedua kepada JDT di pentas final Piala Malaysia selepas tewas 0-2 pada edisi 2017 di Stadium Shah Alam.