Bot terperangkap di atas batu beralih selepas 100 tahun

Pihak berkuasa Kanada mengsahkan bot berkenaan terperangkap di kawasan sama sejak 101 tahun lalu. - Foto Agensi
A
A

ONTARIO - Sebuah bot besi yang terperangkap di atas batu di Niagara Falls selama 101 tahun akhirnya dibebaskan oleh angin kencang dan hujan lebat.

Menurut Pegawai Suruhanjaya Taman Niagara, Jim Hill cuaca buruk pada Khamis lalu menolak bot sepanjang 50 meter itu dari hamparan berbatu dan mendekatkannya dengan air terjun di Kanada.

Ia juga adalah kali pertama bot itu bergerak pada jarak yang ketara sejak terperangkap pada 6 Ogos 1918.

"Bot itu dilihat telah terbalik ke bahagian sisi dan berpusing di dalam arus sungai yang deras. Ia tidak berada di tempat yang sama seperti sebelum ini.

"Ribut telah memindahkannya ke kawasan berbatu lain. Ia mungkin terperangkap di kawasan itu selama beberapa hari atau tahun," katanya.

Difahamkan bot berkenaan terperangkap selepas terpisah dengan kapal tunda semasa operasi mengorek dan ia kemudiannya dibawa arus sehingga ke kawasan air terjun. - Agensi