X

Kindly register in order to view this article
!

[VIDEO] Peminat cilik menangis Kedah tewas kepada JDT

Peminat cilik Kedah menangis melihat kekalahan Sang Lang Merah.
A
A

KEMENANGAN Johor Darul Ta'zim (JDT) menjulang Piala Malaysia edisi 2019 membuatkan ramai peminat dari pasukan Kedah kecewa tidak terkecuali peminat si cilik yang menangisi kekalahan itu.

Hari ini tular beberapa rakaman video di laman sosial memaparkan ragam atau aksi peminat cilik bola sepak yang sedih, kecewa apabila pasukan idaman mereka kecundang ditewaskan 3-0 dalam aksi final Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Rakaman yang dimuat naik di Facebook FA Kedah di ruang komen oleh Ajib Koboy nyata menarik perhatian netizen.

Satu rakaman durasi 13 saat memaparkan seorang kanak-kanak menangis teresak-esak sambil membuang baju jersi pasukan Kedah setelah melihat kekalahan pasukannya.

Menerusi video itu kanak-kanak dikenali Aiman menangis ketika skuad Harimau Selatan menjaringkan gol buat kali kedua melalui sepakan percuma, Safawi Rashid pada minit ke-35 yang gagal ditepis penjaga gol Kedah, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim.


Pada separuh masa pertama, skuad Harimau Selatan menguasai perlawanan selepas mendahului Lang Merah 2-0.

Dalam hantaran yang sama, netizen rata-rata terus memberi sokongan kepada skuad kendalian Aidil Shahrin Sahak.

"Tahniah Kedah, walaupun tak jadi juara kita penyokong amat faham kesukaran pasukan Kedah apapun anda tetap terbaik dihati kami. its ok cuba lagi...," tulis Nor Azwan.

Kata Munir Seven, "Semalam memang pedih nak diterima tapi terpaksa diakui permainan JDT lebih baik dari Sang Lang Merah.

"Semoga Lang Merah dapat bangkit semula bagi bertemu JDT dalam Piala Sumbangsih nanti," katanya.

Malam tadi JDT membuktikan betapa mereka berada dalam kelas tersendiri apabila muncul juara Piala Malaysia selepas menewaskan Kedah 3-0 dalam aksi final.

Kemenangan itu menyaksikan JDT mengulangi kejuaraan Piala Malaysia pada 2017 selain meraih gelaran ketiga musim ini selepas menjuarai Piala Sultan Ahmad Shah dan Liga Super.

ARTIKEL BERKAITAN: JDT terlalu hebat buat Kedah


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus