10 peratus MPKK Negeri Sembilan gugur perkhidmatan tahun depan

Ismail (tengah) menerima cenderahati daripada persatuan pembuat dan peniaga perabot hari ini.
Ismail (tengah) menerima cenderahati daripada persatuan pembuat dan peniaga perabot hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Dijangka lebih 10 peratus daripada 866 Pengerusi dan Setiausaha dalam Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) termasuk Kampung Baharu tidak akan disambung perkhidmatan mereka pada tahun 2020.

Exco Pembangunan Luar Bandar Negeri Sembilan, Ismail Ahmad berkata, tindakan tersebut dibuat berdasarkan prestasi yang ditunjukkan oleh MPKK sepanjang tempoh tahu lalu.

Katanya, antara sebab utama perlucutan jawatan dilakukan adalah mempunyai masalah disiplin, tidak menunjukkan prestasi yang baik serta mempunyai isu berkaitan integriti dan ketelusan.

“Sekarang ini kita sedang menjalankan proses penilaian oleh Pejabat Daerah dan Jabatan Kemajuan Masyarakat bagi menilai prestasi setiausaha dan pengerusi untuk menentukan sama ada mereka kekal atau perlu ditukar.

“Dianggarkan lebih tujuh hingga 10 peratus daripada MPKK dan Kampung Baru sedia ada ketika ini akan ditamatkan perkhidmatan mereka yang akan berakhir penghujung tahun ini, namun jika ada pertukaran kita akan buat pemilihan baru," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Perbincangan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pembuat-Pembuat dan Peniaga-Peniaga Perabot Negeri Sembilan di sini hari ini.

Tambahnya mereka (pengerusi dan setiausaha) perlu dinilai memandangkan telah menerima geran peruntukan dan adalah penting untuk mengetahui sejauh mana geran itu digunakan dan apakah bentuk program yang telah dilaksanakan melibatkan masyarakat setempat.

“Mereka perlu dinilai sebab mereka sudah dapat duit sama ada mereka gunakan duit untuk pembangunan atau sebaliknya, kita juga mahu melihat apa kesannya kepada masyarakat apakah mereka libatkan masyarakat dalam program-program yang diadakan dan bagaimana sambutan masyarakat terhadap mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ismail berkata, selepas ini pemilihan ahli jawatankuasa MPKK dan Kampung Baru dijangka akan dijalankan dua tahun sekali bermula tahun hadapan mengikut kesesuaian.