KDN nafi lantik syarikat kumpul data, keluarkan kad dokumentasi

Kad dokumentasi yang dikeluarkan sebuah syarikat pengurusan perundingan kepada warga asing.
Kad dokumentasi yang dikeluarkan sebuah syarikat pengurusan perundingan kepada warga asing.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan penglibatan agensi itu dengan sebuah syarikat pengurusan perundingan yang dikenal pasti menjalankan kegiatan mendaftar dan mengeluarkan kad dokumentasi kepada warga asing.

KDN dalam satu kenyataan akhbar hari ini memberitahu, pihaknya tidak pernah melantik syarikat tersebut bagi menjalankan pengumpulan data maklumat dokumentasi pekerja asing, warga asing atau mana-mana individu yang mempunyai masalah kerakyatan di Sabah.

"Kad yang dikeluarkan oleh syarikat tersebut tidak memberi apa-apa keistimewaan kepada warga asing dan tidak sama sekali akan diguna pakai dalam penentuan atau pemberian status kerakyatan oleh agensi kerajaan.

"KDN juga sudah membuat satu laporan polis bagi menafikan perkaitan KDN dalam kegiatan pengumpulan data dan pengeluaran kad dokumentasi itu," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, KDN juga menerima banyak maklumat berhubung kegiatan beberapa syarikat dan pertubuhan mengumpulkan maklumat, mendaftar dan mengeluarkan kad-kad dokumentasi kepada warga asing terutamanya kepada pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 ada memperuntukkan kesalahan individu yang didapati melindungi PATI di Malaysia yang mana pesalah bagi perkara ini boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM10,000 bagi setiap PATI yang dilindungi atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun serta boleh dikenakan sebatan.

"Selain itu, aduan tersebut juga diterima daripada pihak majikan dan orang ramai yang keliru dan merasakan ditipu oleh ejen-ejen syarikat yang melakukan kegiatan mendaftar kad dokumentasi dengan mengenakan jumlah bayaran tertentu, namun fungsi kad tersebut tidak seperti yang dijanjikan," katanya.

KDN menerusi kenyataan sama turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang bentuk pembayaran kepada mana-mana pihak yang mendakwa membuat program bancian atau mendaftarkan kad dokumentasi kepada warga asing ini.

Artikel Berkaitan: