Penunggang motosikal maut rempuh teksi

Keadaan teksi setelah terbabit kemalangan malam tadi. (Penunggang motosikal maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala. - Foto Ihsan pembaca)
Keadaan teksi setelah terbabit kemalangan malam tadi. (Penunggang motosikal maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala. - Foto Ihsan pembaca)
A
A
A

SEREMBAN - Seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh sebuah teksi di persimpangan jalan ke Taman Rasah Jaya, Jalan Rasah dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, Mohamad Zubair Mohamad Zulkarnian, 22, mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintendan Ibrahim Mohd Abdul Kadir berkata, semasa kejadian mangsa berada di sebelah kiri teksi gagal mengelak kenderaan berkenaan yang sedang membelok.

"Siasatan awal mendapati pemandu teksi dalam perjalanan dari arah Mambau menuju ke Taman Rasah Jaya dan sebaik tiba di persimpangan Jalan Mambau, pemandu berusia 45 tahun itu membelok ke kanan.

"Bagaimanapun sebuah motosikal Yamaha RXZ yang ditunggang mangsa datang dari arah kiri lalu melanggar bahagian tepi teksi berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu penunggang motosikal menetap di Taman Sungai Ujong itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk dibedah siasat.

Bagaimanapun pemandu teksi yang berasal dari Taman Rasah Jaya tidak mengalami kecederaan.

Artikel Berkaitan:

"Pihak kami sudah mengambil keterangan daripadanya dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.