'Bukan namanya wakil rakyat kalau bekerja untuk kaum tertentu'

Karmaine menyantuni penduduk di di pasar pagi Pekan Nanas hari ini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Karmaine menyantuni penduduk di di pasar pagi Pekan Nanas hari ini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PONTIAN - Seseorang tidak boleh dianggap wakil rakyat jika hanya bekerja untuk satu-satu kaum, malah konsep itu sepatutnya tidak boleh berlaku di negara yang mempunyai masyarakat majmuk seperti Malaysia.

Calon Pakatan Harapan (PH) dari Parti Pribumi Rakyat Malaysia (Bersatu), Karmaine Sardini berkata, setiap wakil rakyat perlu mengambil berat kepentingan semua kaum.

"Kalau bekerja untuk kaum tertentu sahaja, itu bukan namanya wakil rakyat, itu wakil kelompok parti atau kaum tertentu. Konsep kita adalah untuk semua. Parlimen Tanjung Piai kita sudah ada satu Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasai orang Cina.

"Jadi untuk Parlimen sudah tentu kita letakkan calon Melayu kerana kita parti kerajaan memerintah ketika ini," katanya kepada media sewaktu mengadakan program walkabout menyantuni rakyat di pasar pagi Pekan Nanas pagi ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai keperluan memilih calon yang mengambil berat terhadap kepentingan kaumnya sendiri.

Karmaine Sardini
Karmaine Sardini

Dalam pada itu, Karmaine menyifatkan kehadirannya di pasar berkenaan pada hari pertama kempen rasmi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai disambut baik pengundi terdiri berbilang kaum.

Menurutnya, kelebihannya sebagai calon anak tempatan turut memudahkannya beramah mesra dengan masyarakat Pekan Nanas.

Artikel Berkaitan:

"Setiap hari memang kita jangka akan menyantuni sehingga 10 ribu pengundi, tetapi itu ikut kemampuan saya juga.

"Mengenai perbezaan dengan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) terdahulu yang turut ditandingi saya di Parlimen Pontian, memang ada kerana dahulu sebahagian sahaja kenal saya.

"Di sini ramai kenal saya sebab saya berasal from Teluk Kerang. Saya pun sudah lama berkhidmat kepada masyarakat dan parti lama (UMNO)," katanya.

Karmaine turut yakin mampu menangani permasalahan rakyat DUN Pekan Nanas sekiranya terpilih atas kelebihan mewakili parti menyokong kerajaan.

"Masyarakat Pekan Nanas lebih menumpukan isu infrastruktur jalan rosak dan ia semua akan ditangani kerajaan.

"Setakat ini kerajaan juga sudah memenuhi kesemua permintaan bekas penyandang, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik untuk pembangunan DUN Pekan Nanas," katanya.