FAMA Negeri Sembilan nafi disabotaj Speaker DUN

Timbalan Pengarah FAMA Negeri Sembilan, Saiful Adli Musa (kiri) bertemu dengan Zulkefly di Lenggeng semalam.
Timbalan Pengarah FAMA Negeri Sembilan, Saiful Adli Musa (kiri) bertemu dengan Zulkefly di Lenggeng semalam.
A
A
A

SEREMBAN - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sembilan kesal dengan dakwaan beberapa pihak yang menuduh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Zulkefly Mohd Omar cuba sabotaj program Bazar Peduli Rakyat yang dianjurkan di Lenggeng semalam.

Pengarahnya, Asmizal Jaafar berkata, program dianjurkan pihaknya dengan kerjasama Pejabat Khidmat ADUN Lenggeng itu secara kebetulan sama tarikh dengan program Mantai Harapan Prihatin anjuran Speaker DUN di kawasan berhampiran.

"Dakwaan kononnya program Datuk Speaker (Datuk Zulkefly) ada unsur sabotaj terhadap bazar yang dianjurkan FAMA adalah tidak berasas dan FAMA menganggap perkara itu boleh mengeruhkan hubungan baik yang sedia terjalin di antara agensi ini dengan pelbagai pihak terutama pemimpin masyarakat di negeri ini.

"FAMA Negeri Sembilan kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan pihak-pihak tertentu. FAMA tidak pernah membuat tuduhan sebegitu dan tindakan pihak tertentu mengaitkannya pula dengan program dianjurkan agensi kita sangat dikesali," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, tiada sebarang isu yang timbul malah kedua-dua program yang berlangsung itu merupakan sebahagian daripada usaha memberi perkhidmatan demi kepentingan rakyat.

"Kita menganggap bahawa kenyataan yang dikeluarkan itu adalah pandangan peribadi pihak terbabit dan mereka mengeluarkan kenyataan itu dengan tidak merujuk kepada agensi ini terlebih dahulu.

"Sebarang program kerjasama agensi itu dengan pelbagai pihak adalah mengambil kira kemaslahatan masyarakat setempat dan juga sebagai melunaskan amanah dalam melaksanakan obligasi sosial, serta tanggungjawab agensi ini bagi kesejahteraan rakyat seluruhnya berdasarkan tag line #famadihatirakyat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bazar Peduli Rakyat meriah dengan kehadiran pengunjung setempat.
Bazar Peduli Rakyat meriah dengan kehadiran pengunjung setempat.

Katanya, seramai 26 peniaga menyertai program Bazar Peduli Rakyat yang menyediakan pelbagai barangan keperluan harian dengan menawarkan harga lebih murah.

"Bazar Peduli Rakyat yang dianjurkan kali kedua di Lenggeng diharapkan dapat membantu rakyat untuk berjimat cermat selain dapat menikmati nilai yang lebih murah bagi setiap ringgit yang dibelanjakan dengan penawaran harga barangan terpilih pada harga yang amat berpatutan.

Terdahulu, tular di media sosial dakwaan Speaker DUN cuba sabotaj program Bazar Peduli Rakyat dengan mengadakan program Mantai Harapan para hari dan masa yang sama di Lenggeng sehingga mendapat kecaman daripada netizen.

Bagaimanapun kedua-dua program berlangsung secara harmoni dan meriah dengan kehadiran penduduk setempat yang mengambil peluang berbelanja keperluan harian dengan harga lebih murah.