'Rezeki bertambah, berkat pelihara lima anak angkat'

Suzana (tengah) bersama suami dan anak kandung (dua, kanan) serta empat anak angkatnya sebelum mengambil anak angkat bongsu yang kini berusia dua tahun.
Suzana (tengah) bersama suami dan anak kandung (dua, kanan) serta empat anak angkatnya sebelum mengambil anak angkat bongsu yang kini berusia dua tahun.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Bagi mereka yang belum dikurniakan rezeki memiliki cahaya mata sendiri, mengambil seorang anak angkat mungkin dilihat perkara biasa.

Bagaimanapun, agak jarang kedengaran mereka yang mampu memberikan belaian dan kasih sayang sehingga lima anak angkat.

Bagi usahawan kek, Ziq Bakery & Cake, Suzana Salleh, usahanya memelihara lima anak angkat menjadikan rezekinya semakin luas dan perniagaan bertambah maju.

Usahawan wanita berusia 45 tahun itu berkata, dia berbangga kerana menjadi ibu kepada enam cahaya mata termasuk seorang anak kandung.

Suzana dan suami bahagia dan gembira disamping anak-anak mereka.
Suzana dan suami bahagia dan gembira disamping anak-anak mereka.

Suzana mengakui hidupnya banyak berubah selepas memelihara anak angkat berkata dan bertambah yakin rezekinya lebih berkat.

Menurutnya, dia mula mengambil anak angkat ketika berusia 23 tahun selepas doktor mengesahkan dia tidak boleh hamil seperti wanita normal yang lain.

"Sedihnya hati hanya ALLAH SWT yang tahu kerana naluri menjadi ibu meluap-luap ketika itu. Mujurlah suami saya amat memahami dan banyak memberi sokongan.

Artikel Berkaitan:

"Suami juga bersetuju untuk kami mengambil anak sepupu sebagai anak angkat kerana ibu bapanya berpisah ketika itu. Alhamdulillah, sejak itu rumahtangga kami semakin bahagia dengan kehadiran dia," katanya.

Suzana berkata, dia mula menjual pelbagai jenis kek dan roti dari rumah pada tahun 1997.

"Berkat memelihara anak angkat saya mula membuka kedai di Gong Kapas pada 2006," katanya yang mempunyai anak angkat berusia 2, 7, 9, 11 dan 24 tahun.

Katanya, selepas memelihara anak angkat pertama, dia menerima khabar gembira apabila hamil dan kini satu-satunya anak kandungnya, Ahmad Haziq Badrol Hisham telah berusia 17 tahun dan baru pulang dari pengajian agama di Turki.

"Saya terharu dengan hubungan erat antara anak kandung dan anak angkat. Tiada beza, kasih sayang yang dicurahkan sama rata dan tidak berbelah bahagi.

"Setiap kali saya nak ambil anak angkat, saya akan minta kebenaran kepada anak kandung saya. Alhamdulillah, dia menerima dan bersetuju dengan keputusan saya," katanya.

Suzana di cawangan Ziq Bakery& Cake yang beroperasi di Kuala Terengganu.
Suzana di cawangan Ziq Bakery& Cake yang beroperasi di Kuala Terengganu.

Suzana berkata, setiap anak angkat pasti membawa rezeki dalam hidupnya sehingga perniagaan bakerinya mampu merekodkan jualan jutaan ringgit setiap tahun.

"Setiap kali ambil anak angkat, pasti ada rezeki baharu untuk kami sekeluarga misalnya diberi kepercayaan oleh kerajaan negeri untuk membekalkan roti kepada mangsa banjir, dapat membuka lebih banyak rangkaian bakeri di daerah lain dan paling penting kehidupan kami sangat bahagia dengan gelak tawa mereka," katanya.

Katanya, selain sukar mendapatkan cahaya mata, peningkatan kes buang bayi turut menyentuh hatinya.

"Antara faktor saya memelihara anak angkat kerana tidak tahan dengan kes buang bayi yang dilaporkan media. Saya rasa terpanggil untuk memelihara mereka, beri didikan agama sebaiknya agar dapat menyumbang kepada agama, bangsa dan negara apabila mereka dewasa.

"Saya hantar anak perempuan ke sekolah aliran Cina dan banyak ajar selok-belok perniagaan sejak kecil manakala yang lelaki pula saya akan hantar ke madrasah agar mereka dapat mendalami ilmu agama dengan lebih sempurna," katanya.

Menurutnya, dia juga tidak menolak cabaran yang terpaksa dilalui dalam bidang perniagaan.

"Adat berniaga pasti ada pasang surutnya. Walau susah macam mana pun percayalah rezeki tetap ada.

"Kita hanya perlu yakin janji ALLAH untuk pelihara mereka dengan ikhlas. Semoga usaha kecil saya ini diberkati oleh-Nya," katanya.