Sekolah tempat terbaik pupuk perpaduan

Muhammad Nasir (empat dari kiri) menerima cenderahati daripada pihak sekolah.
Muhammad Nasir (empat dari kiri) menerima cenderahati daripada pihak sekolah.
A
A
A

PUTRAJAYA - Sekolah perlu menjadi tempat terbaik untuk memupuk nilai perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, ini kerana nilai perpaduan perlu dipupuk seawal usia kanak-kanak lagi.

"Ramai pihak bercakap tentang isu perpaduan yang dilihat semakin rapuh ketika ini tetapi mereka perlu memainkan peranan. Jadikan sekolah sebagai lokasi terbaik untuk mengukuhkan perpaduan masyarakat di negara ini.

"Semua pihak terutama guru dan ibu bapa perlu memainkan peranan saling menyokong setiap aktiviti yang dilakukan bagi memastikan hasrat ini tercapai," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Sedekad Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 18 (1) di sini semalam.

Muhammad Nasir berkata, ibu bapa disaran sentiasa melibatkan diri dengan aktiviti anjuran sekolah bagi memastikan hubungan kedua-dua pihak terus kukuh berikutan generasi kini juga ialah pewaris kepimpinan negara

"Hari ini juga saya teruja melihat penyertaan ibu bapa yang begitu ramai. Jadi saya harap suasana yang sangat positif ini akan sentiasa berterusan," katanya.

Pada majlis sama Muhammad Nasir turut menyampaikan bantuan buku dan wang tunai kepada sekolah berkenaan yang menjadi sekolah angkat Kumpulan Media Karangkraf sejak dua tahun lalu.

Sementara itu, Guru Besar SK Putrajaya Presint 18 (1), Che Rozi Hassan berkata, sambutan sedekad yang disambut hari ini sangat istimewa.

Artikel Berkaitan:

"Sepanjang 10 tahun ini sekolah melalui pelbagai fasa untuk berada seperti mana hari ini. Kejayaan yang dikecapi hari ini tidak akan dinikmati tanpa sokongan semua pihak khususnya ibu bapa.

"Kita harap sekolah ini bakal melahirkan lebih ramai murid yang cemerlang merangkumi pelbagai aspek," katanya.

Che Rozi berkata, jumlah keseluruhan murid di sekolah itu ketika ini hampir 2,000 manakala jumlah keseluruhan guru seramai 138 orang.