[VIDEO] Diskaun sehingga 70 peratus

Wan Azizah (kiri) beramah mesra dengan seorang pempamer yang menjayakan Karnival Kempen Beli Barangan Malaysia Peringkat Kebangsaan di Dataran Angsana, Johor Bahru.
Wan Azizah (kiri) beramah mesra dengan seorang pempamer yang menjayakan Karnival Kempen Beli Barangan Malaysia Peringkat Kebangsaan di Dataran Angsana, Johor Bahru.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Orang ramai perlu merebut peluang keemasan untuk menikmati pelbagai tawaran menarik termasuk diskaun sehingga 70 peratus pada Karnival Kempen Beli Barangan Malaysia di Dataran Angsana di sini yang berakhir hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, karnival yang menjadi kemuncak kepada beberapa siri penganjuran jelajah mini di seluruh negara itu menghimpunkan pengeluar, peruncit, pengilang, syarikat minyak dan usahawan tempatan.

Menurutnya, karnival berlangsung selama lima hari bermula 30 Oktober lalu sehingga hari ini yang berbentuk pameran dan jualan itu diadakan secara bersepadu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

"Karnival ini untuk memperkukuhkan perbelanjaan domestik dengan menggalakkan pengguna di Malaysia, khususnya di Johor dan Wilayah Selatan termasuk Singapura membeli barangan buatan Malaysia.

"Ia sekali gus meningkatkan kesedaran dan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat untuk membantu pengusaha tempatan mempromosikan pelbagai bentuk barangan, produk dan perkhidmatan buatan tempatan," katanya pada majlis perasmian Karnival Kempen Beli Barangan Malaysia Peringkat Kebangsaan Bagi Tahun 2019 di Dataran Angsana di sini hari ini.

Menurutnya, karnival itu turut membantu pengeluar memasar dan mempromosikan produk-produk buatan Malaysia serta perkhidmatan mereka.

Pengeluar produk minuman semulajadi memberi penjelasan mengenai produknya kepada Wan Azizah.
Pengeluar produk minuman semulajadi memberi penjelasan mengenai produknya kepada Wan Azizah.

Sementara itu, katanya, kementerian menerima dana daripada kerajaan untuk kempen Beli Barangan Malaysia yang akan digunakan sepenuhnya bagi membantu usahawan, pengusaha dan pengilang tempatan mengembangkan perusahaan serta perniagaan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan bantu, selain mempromosikan pelbagai jenis produk buatan tempatan kepada seluruh rakyat Malaysia melalui pelbagai inisiatif strategik.

"Ia dapat meningkatkan kesedaran dan mendorong pengguna menyokong dan membeli barangan buatan Malaysia," katanya.

Beliau berkata, KPDNHEP juga telah mengadakan perbincangan dan libat urus dengan pemain industri peruncitan serta 'marketplace' di Malaysia.

"Pelbagai bentuk kerjasama telah ditetapkan, antaranya penyenaraian tetap produk tempatan di hypermarket dan pasaraya dengan kadar yuran minimum, promosi Kempen Beli Barangan Malaysia di cawangan masing-masing serta pelbagai cara lain.

"Dengan inisiatif ini diharapkan lebih banyak produk tempatan akan menembusi pasaran peruncitan negara ini," katanya.

Saifuddin berkata, kementerian juga sedang berunding dengan Malaysia Airport Berhad (MAHB) dalam usaha untuk memasarkan produk Malaysia di setiap lapangan terbang dalam negara.

"MAHB menguruskan sebanyak 39 lapangan terbang dan setahun seramai 100 juta orang menggunakan lapangan terbang. Justeru, kementerian sedang berunding untuk meletakkan produk Malaysia di lapangan terbang seluruh negara.

"Saya percaya usaha berterusan ini akan memberikan kesan yang amat bermakna. Kerajaan juga membantu memasarkan produk usahawan kita melalui platform e-dagang," katanya.