PTMP: Projek pakej 2 bernilai RM851 juta dijangka siap April 2023

Kon Yeow (lima dari kanan) melakukan gimik perasmian pada Majlis Pecah Tanah Projek Lebuhraya dari Bandar Baru Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu sepanjang 5.7 kilometer hari ini. -Foto Bernama
Kon Yeow (lima dari kanan) melakukan gimik perasmian pada Majlis Pecah Tanah Projek Lebuhraya dari Bandar Baru Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu sepanjang 5.7 kilometer hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Projek pembinaan jalan pintasan menghubungkan Bandar Baru Air Itam, Farlim ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu yang bernilai RM851 juta dijangka siap pada April 2023.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, projek tersebut adalah di bawah pakej 2 Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) melibatkan kerja-kerja awal bermula hari ini sehingga April tahun hadapan.

"Projek pembinaan lebuh raya sepanjang 5.7 kilometer ini akan mengambil tempoh 36 bulan, bermula April 2020 dan April 2023 adalah tarikh untuk kontraktor siapkan projek ini," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah projek berkenaan di sini hari ini.

Projek Pakej 2 dalam PTMP ini bertujuan menambah baik penyuraian trafik di kawasan-kawasan yang mengalami kesesakan jalan raya serius dan berupaya mengurangkan tempoh perjalanan dari Air Itam di Lebuhraya Thean Teik ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong dari 40 minit ke lima minit.

Kon Yeow berkata, pihak kerajaan negeri akan memberi jaminan kepada semua penduduk di Pulau Pinang bahawa lebuh raya tersebut tidak akan dikenakan tol pada masa hadapan.

Beliau berkata, projek ini akan diserahkan kepada kerajaan negeri selepas kerja-kerja pembinaan siap dan pihak kerajaan negeri akan bertanggungjawab ke atas lebuh raya ini.

"Setelah siapnya projek ini, kos penyelenggaraan boleh dibiayai oleh kerajaan negeri ataupun kita boleh memohon peruntukan daripada Jabatan Kerja Raya atau Kementerian Kerja Raya untuk selenggara," katanya.

Menurutnya, pihak kerajaan negeri akan meneliti semula isu penyelenggaraan lebuh raya ini menjelang siapnya projek terbabit.

Artikel Berkaitan:

Projek ini telah ditawarkan kepada Consortium Zenith Construction pada 2013 melalui proses tender terbuka yang mana perjanjian awal telah dimeterai bagi pelaksanaan kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk terperinci bagi projek jalan-jalan utama dan terowong.

Lanjutan perolehan kelulusan kajian impak alam sekitar (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 7 November 2017 bagi projek jalan-jalan utama, pihak kerajaan negeri telah mencadangkan untuk melaksanakan projek pakej 2 ini terlebih dahulu.

PTMP ialah projek inisiatif kerajaan negeri dengan kos keseluruhan dianggarkan RM46 bilion, merangkumi terowong dasar laut menghubungkan bahagian pulau ke tanah besar, lebuh raya, perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), monorel serta rangkaian laluan bas secara menyeluruh di bahagian pulau dan tanah besar.

Selain pakej 2, terdapat tiga lagi pakej di bawah PTMP iaitu pakej 1 melibatkan pembinaan lebuh raya menghubungkan jalan pesisir pantai utara Tanjung Bungah-Teluk Bahang, pakej 3 menghubungkan Jalan Pangkor-Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, manakala projek terowong dasar laut merupakan pakej 4. - Bernama