Mesyuarat pinda undang-undang buruh dimulakan minggu depan

Kula Segaran (tengah) merasmikan seminar 'Labour Enrichment and Profesionalism (LEAP)' anjuran Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) hari ini.
Kula Segaran (tengah) merasmikan seminar 'Labour Enrichment and Profesionalism (LEAP)' anjuran Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) hari ini.
A
A
A

IPOH - Satu mesyuarat jawatankuasa teknikal tambahan berhubung pindaan Akta Pekerjaan 1955 dan Akta Kesatuan Sekerja 1959 yang sepatutnya berlangsung Isnin lalu ditangguhkan pada 11 November ini.

Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran berkata, penangguhan itu bagi membolehkan kesemua pihak dapat melibatkan diri bagi menambahbaik akta berkenaan demi kepentingan pekerja dan majikan.

"Mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan lalu bersetuju mengadakan mesyuarat jawatankuasa teknikal namun Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menulis surat untuk menunda tarikh kerana tidak sesuai.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan seminar 'Labour Enrichment and Profesionalism (LEAP)' anjuran Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) di sini hari ini.

Menurutnya, pindaan itu dilakukan bagi memastikan peruntukan undang-undang mematuhi Standard Buruh Antarabangsa.

"Kita jangan lupa minggu lalu Amerika Syarikat telah mengenakan sekatan terhadap Thailand kerana tidak memberi ruang kepada pekerja untuk menubuhkan kesatuan.

"Jadi, apa yang kita buat ini bukan baharu. Setahun lalu kita sudah melaksanakan. Diharapkan peranan ini dapat diperluaskan supaya semua pekerja dan majikan dapat manfaat," katanya.

Kula Segaran berkata, kerajaan sedia membantu golongan pekerja untuk aktif menubuhkan kesatuan sekerja dan majikan juga perlu memainkan peranan.

Artikel Berkaitan:

"Ini penting kerana pada satu masa ahli kesatuan sekerja yang kini ada 10 peratus mungkin akan menurun kepada enam atau tujuh peratus. Kita mahu lebih banyak kesatuan menjadi aktif dan kerajaan sedia membantu," katanya.