Bekas pekerja SPAD lega, terima RM23j pampasan

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan membayar RM23 juta pampasan kepada kesemua 961 bekas kakitangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD ) pada 31 Disember lepas, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata pampasan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memberi bantuan kepada kakitangan SPAD yang terjejas susulan pembubaran suruhanjaya itu yang diambil alih oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bermula 1 Januari.

Menurutnya, kadar pembayaran pampasan adalah berdasarkan satu bulan gaji mengikut tahun perkhidmatan dan minimum pampasan yang dibayar adalah sebanyak tiga bulan gaji walaupun kakitangan berkhidmat kurang dari tempoh tersebut.

"Seorang kakitangan menerima pampasan tertinggi sebanyak RM268,000 tanpa potongan cukai pendapatan," katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis menandantangani perjanjian antara Kerajaan Malaysia bersama MASwings Sdn Bhd (MASwings) di sini hari ini.

Loke berkata selain pembayaran pampasan, kementerian juga telah meminta kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi menempatkan bekas pegawai SPAD ke jawatan lain dalam sektor kerajaan.

Kementerian juga bekerjasama dengan syarikat-syarikat milik kerajaan seperti Malaysia Airports Holdings Bhd dan Malaysia Airlines serta syarikat tambang murah AirAsia dalam memberi peluang pekerjaan kepada mereka yang terjejas, katanya.

"Daripada 961 bekas pekerja SPAD, lebih 600 telah diserap ke bahagian penguatkuasa di Jabatan Pengangkutan Jalan dan APAD.

"Manakala bagi lebih 300 bekas pekerja SPAD yang lain, 80 peratus daripada mereka telah ditawarkan kerja pada 2 Januari lalu manakala selebihnya dijangka akan ditawarkan selewat-lewatnya akhir bulan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Loke berkata beliau agak terguris hati dengan dakwaan bahawa mereka tidak mendapat kerja sehingga sanggup mengangkat sepanduk di pejabat SPAD.

"Saya merayu kepada mereka agar bersabar kerana kerajaan sedaya upaya menangani masalah ini. Mana ada dalam sejarah kerajaan sebelum ini apabila pekerja di agensi dibubarkan diberikan pekerjaan dan juga pampasan," katanya. - Bernama