Cikgu Syafeza kental bermotosikal redah selut ke sekolah

Gambar-gambar Syafeza yang menunjukkan beliau terjatuh ketika menunggang motosikal melalui jalan becek dan berlumpur.
Gambar-gambar Syafeza yang menunjukkan beliau terjatuh ketika menunggang motosikal melalui jalan becek dan berlumpur.
A
A
A

IPOH - "Saya ikhtiarkan belajar menunggang motosikal, sebab itu sajalah cara nak ke sekolah ini selain guna kenderaan pacuan empat roda (4x4)," kata guru Sekolah Kebangsaan (SK) RPS Dala, Gerik, Syafeza Sauli.

Kegigihan guru berusia 26 tahun itu mendapat perhatian selepas beliau berkongsi gambarnya yang terjatuh daripada motosikal ketika melalui jalan becek dan berlumpur di media sosial, Khamis lalu.

Syafeza yang berkhidmat di sekolah itu sejak Februari lalu berkata, majoriti guru di sekolah terbabit memang menggunakan motosikal dengan menempuh jarak perjalanan hampir 45 kilometer setiap hari dari bandar Gerik.

Perkongsian Syafeza di Facebook yang tular di media sosial sejak Khamis lalu.
Perkongsian Syafeza di Facebook yang tular di media sosial sejak Khamis lalu.

Menurutnya, perjalanan mengambil masa lebih satu jam 30 minit dan kadang kala berlarutan hingga dua jam bergantung cuaca kerana laluan tidak berturap, berbatu dan berbukit.

"Kebetulan sekarang musim hujan jadi jalan jadi agak licin, berselut dan sukar dilalui, sedangkan kenderaan pacuan empat roda pun boleh terkandas, inikan pula kami yang menunggang motosikal.

"Saya pun bukanlah pandai sangat menunggang motosikal, mula belajar bila sampai mengajar di sini, kalau jatuh itu sudah jadi perkara biasa bagi saya walaupun sebenarnya sudah berhati-hati," katanya ketika dihubungi semalam.

Berbekalkan motosikal jenis Honda EX5 milik suaminya, guru kelahiran Pasir Puteh, Kelantan ini seawal jam 6 pagi sudah bersiap memulakan perjalanan ke sekolah dari kediamannya di bandar Gerik

Artikel Berkaitan:

Syafeza bersama guru-guru SK RPS Dala yang menunggang motosikal ke sekolah.
Syafeza bersama guru-guru SK RPS Dala yang menunggang motosikal ke sekolah.

Syafeza berkata, dia perlu mengenakan seluar jeans, jaket tebal serta topi keledar penutup penuh setiap kali ke sekolah bagi memastikan keselamatan dan mengurangkan risiko cedera sekiranya terjatuh.

"Sampai sekolah barulah saya menukar ke pakaian baju kurung, walaupun kelihatan agak lucu perlu menukar pakaian setiap kali datang dan balik sekolah, saya tidak pernah rasa terbeban melakukannya.

"Saya anggap ini hanyalah ujian kecil yang perlu dilalui, banyak lagi cabaran lebih besar yang perlu dihadapi guru-guru pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak," katanya.

SK RPS Dala merupakan penempatan kedua bagi beliau selepas SK Batu 7, Tapah yang mana kesemua murid adalah kalangan orang asli.

Syafeza yang mengajar bahasa Inggeris bagi murid tahun 4 dan 5 mengakui, apa yang dilalui itu tidak sedikit pun mematahkan semangat untuk terus berbakti kepada anak bangsa.

"Kepenatan itu hanya dirasai secara fizikal, tetapi dari segi emosi saya sangat senang hati dan gembira sebenarnya.

"Hubungan guru-guru di sini ibarat sebuah keluarga, sangat mengambil berat dan saling bekerjasama, murid orang asli pula sangat tinggi budi bahasanya, mereka amat menghormati guru," katanya.

Syafeza bersama anak muridnya sempena Sambutan Hari Orang Asli 2019 dan Kembara Merdeka peringkat sekolah.
Syafeza bersama anak muridnya sempena Sambutan Hari Orang Asli 2019 dan Kembara Merdeka peringkat sekolah.

Mengulas mengenai perkongsiannya di media sosial, Syafeza berkata, gambar dan video itu dirakam secara spontan untuk beliau kongsikan bersama keluarga terutama bapa, Sauli Saad, 59.

Bapanya yang merupakan bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tersentuh sebaik melihat kiriman gambar yang diberikannya melalui aplikasi WhatsApp.

"Jadi untuk hapuskan rasa risau dan sedih ayah, saya muat naik di Facebook bersama kata-kata semangat untuk memberitahu yang saya tidak merasa susah pun mengajar di sini.

"Tetapi tak sangka pula ia menjadi tular, saya terharu dengan doa dan penghargaan diberikan walaupun apa yang saya lalui ini tidaklah seberapa," katanya.