X

Kindly register in order to view this article
!

PRK Tanjung Piai referendum rakyat

Dari kanan, Jeck Seng, Ir Hasni dan Ka Siong pada sidang media di Pusat Gerakan BN Jalan UMNO tadi.
A
A

PONTIAN - Barisan Nasional (BN) menganggap Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai sebagai referendum atau pungutan suara rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat masih gagal melaksanakan manifesto mereka.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, walaupun sudah hampir dua tahun mentadbir negara, banyak janji masih belum ditunaikan pihak terlibat.

Sehubungan itu katanya, rakyat perlu membuat perubahan di Tanjung Piai kerana ia tidak sesekali mengubah status quo kerajaan sama ada PH menang atau kalah seperti dikatakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

"Kita (BN) hendak pastikan PRK kali ini sebagai referendum kepada PH yang sudah 18 bulan memerintah dalam keadaan menghampakan rakyat dengan banyak belum dilaksanakan dalam buku Harapan.

"Sewaktu Tun M datang ke Pontian dua hari lepas, dia ada cakap tiada kira siapa menang, ia tidak akan mengubah kerajaan. Jadi, kita dapat petua daripada Tun M, kita pilih sahaja pembangkang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media yang turut dihadiri Pengerusi BN Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad dan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan di Pusat Gerakan BN Jalan UMNO di sini tengah hari tadi.

Sementara itu, calon BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata, beliau tidak memandang rendah lima lagi calon yang turut sama bertanding pada 16 November ini.

"Ini satu cabaran dan kita di pihak BN akan bekerjasama dengan semua parti komponen sebagai satu pasukan untuk menang," katanya.

Jeck Seng yang pernah menjadi Ahli Parlimen Tanjung Piai sejak 2008 sehingga 2018 tewas kepada calon Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu dengan 525 undi.

PRK Tanjung Piai menyaksikan pertembungan enam penjuru membabitkan calon daripada PH, BN, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan dua calon Bebas.

Enam calon berkenaan ialah Wendy Subramaniam, 38 (Gerakan); Datuk Seri Wee Jeck Seng, 55 (BN-MCA); Karmaine Sardini, 66 (PH-Bersatu); Datuk Badrul Hisham Abdul Aziz, 55 (Berjasa) dan dua calon Bebas iaitu pengusaha pusat tuisyen tempatan, Dr Ang Chun Lok, 49, dan ahli perniagaan, Faridah Aryani Abdul Ghaffar, 43.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!