Penunggang motosikal maut rempuh ambulans

Mangsa disahkan maut selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Mangsa disahkan maut selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh sebuah ambulans dalam kejadian di susur masuk Jambatan Pulau Pinang di sini pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1.20 pagi, mangsa Heng Kar How Andy, 19, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal dengan melawan arus sebelum merempuh bahagian depan ambulans yang dalam perjalanan dari Hospital Pulau Pinang ke Hospital Seberang Jaya.

Akibat kejadian itu, mangsa terpelanting di atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia.

"Ketika kejadian ambulans berkenaan membawa seorang pesakit, pegawai perubatan dan jururawat namun kesemuanya disahkan selamat.

"Mangsa yang maut dibawa ke Unit Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan hasil pemeriksaan mendapati punca kematian disebabkan kecederaan serius di bahagian kepala," katanya ketika dihubungi di sini.

Che Zaimani berkata, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca kejadian termasuk meneliti kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di lokasi kejadian.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian berkenaan agar tampil menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.