19 PATI ditahan di PD, Lukut

Aminuddin (berdiri, dua dari kiri) semasa turun padang melihat PATI yang ditahan dalam operasi di sekitar Port Dickson malam tadi.
Aminuddin (berdiri, dua dari kiri) semasa turun padang melihat PATI yang ditahan dalam operasi di sekitar Port Dickson malam tadi.
A
A
A

PORT DICKSON - Seramai 19 pendatang tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi bersepadu Ops Tangkap PATI di sekitar pekan Port Dickson dan Lukut malam tadi.

Ketua Bahagian Penguat kuasa, Jabatan Imigresen Negeri Sembilan, Nordin Ibrahim berkata, 18 daripada mereka didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan tinggal lebih masa manakala seorang lagi menyalahgunakan pas lawatan.

Menurutnya kesemua yang ditahan berusia antara 22 hingga 41 tahun dan melakukan kesalahan di bawah Perkara 39B, Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) kesemuanya di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Aminuddin (tengah) turut menyertai dalam Ops Tangkap PATI malam tadi.
Aminuddin (tengah) turut menyertai dalam Ops Tangkap PATI malam tadi.

"Kesemua tahanan dibawa ke Depoh Tahanan Lenggeng, Seremban untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang akhbar selepas operasi berkenaan, di sini malam tadi.

Beliau berkata, seramai 198 warga asing diperiksa ketika operasi di tapak projek perumahan dan rumah kongsi sekitar Lukut, Chuah dan Teluk Kemang.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun; Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop dan Ketua Polis Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohammed.

Sementara itu, Aminuddin memberitahu, kerajaan negeri akan berusaha menahan PATI di negeri ini menjelang Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020.

Artikel Berkaitan:

"Operasi ini membuktikan tahap siap siaga pasukan keselamatan berada dalam keadaan terbaik. Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan memastikan kita bersedia untuk TMM2020," katanya.

Operasi lima jam bermula 5 petang itu membabitkan 225 anggota daripada MKN, polis, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Sukarelawan Negara, Pejabat Tanah dan Daerah Port Dickson, Jabatan Penerangan negeri dan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).