X

Kindly register in order to view this article
!

Faridah Aryani mahu perjuangkan nasib rakyat ditindas

Faridah Aryani Abdul Ghaffar
A
A

PONTIAN - Kecewa dengan perbalahan terus-menerus parti politik berskala besar di negara ini ternyata menguatkan semangat seorang juruaudit bebas untuk bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, kali ini.

Faridah Aryani Abdul Ghaffar, 43, berkata, perkara itu dilihat menjadi punca kegagalan kerajaan dahulu dan kini untuk memperjuangkan nasib serta membantu golongan kurang berkemampuan.

“Saya mahu berusaha bantu golongan seperti ini (B40). Sekarang apa yang berlaku ialah mereka ini tiada suara dan tidak boleh berbuat apa-apa.

“Kita tengok dua kerajaan sebelum ini tidak boleh buat apa, jadi saya nekad untuk perbetulkannya dengan bertanding pada PRK di Tanjung Piai ini,” katanya selepas selesai pengumuman rasmi senarai calon oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Dewan Jubli Intan di sini hari ini.

Faridah berkata, pihaknya juga tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerja di kawasan berkenaan memandangkan dirinya memang merupakan anak jati kelahiran Johor.

“Saya memang asal sini, di Simpang Renggam. Sebelum ini memang saya ada bertugas di Kuala Lumpur tetapi sekarang saya dah pindah semula ke mari. Untuk dapatkan sokongan kita rasa ia tiada masalah, kita ada strategi tersendiri untuk itu,” katanya.

Terdahulu, Faridah tiba di pekarangan pusat penamaan calon kira-kira jam 9.26 pagi dengan seorang pencadang dan seorang penyokong untuk menyerahkan dokumen penamaan.

Selain Faridah, terdapat lima lagi calon yang sah bertanding pada PRK Tanjung Piai melibatkan calon daripada Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia dan seorang lagi calon Bebas.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!