Pedas bakal miliki Pusat Neurosains pertama negara

Aminuddin semasa melihat pembangunan Pusat Perubatan Neurosains yang bakal dibina di Pedas, Rembau.
Aminuddin semasa melihat pembangunan Pusat Perubatan Neurosains yang bakal dibina di Pedas, Rembau.
A
A
A

REMBAU - Negeri Sembilan bakal mencipta sejarah apabila menjadi lokasi pilihan pembinaan Pusat Perubatan Institut Neurosains (INS) pertama negara.

Pusat perubatan swasta yang menelan kos RM1.02 bilion itu menawarkan perkhidmatan kesihatan berkaitan neuro dan bakal menjana nilai pembangunan sebanyak RM1.7 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Besar Negeris Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, INS juga bakal menjadi sebuah institusi Pelancongan Perubatan yang terulung di rantau Asia Tenggara.

"Kewujudan infrastruktur bertaraf antarabangsa seperti Pusat Perubatan INS ini secara tidak langsung akan merangsang pembangunan Rembau untuk menjadi sebuah bandar baharu di negeri ini selain ingin menjadikan Pedas sebagai Bandar Satelit kepada Seremban terutama di dalam sektor kesihatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan majlis pecah tanah INS di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif KIG Amir Mohamed.

Menurutnya, antara kelebihan INS ini ialah memberi peluang kepada lebih 115,000 keluarga B40 selain kemudahan insurans khas.

“Penjawat awam juga bakal menikmati kemudahan pada harga diskaun yang munasabah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Projek membabitkan tanah seluas empat hektar di Pedas adalah usahasama KIT International Group Sdn Bhd (KIG) dan Menteri Besar Incorporated (MBI).

"Projek ini dijangka bermula pada pertengahan tahun 2020 dan dijadualkan siap pada tahun 2022," katanya.