176 ditahan sepanjang op bersepadu sempena Deepavali

 Abdul Aziz
Abdul Aziz
A
A
A

KUANTAN - Seramai 176 individu ditahan atas pelbagai kesalahan sepanjang operasi bersepadu sempena musim perayaan Deepavali di Pahang bermula 21 hingga 31 Oktober lalu.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Pahang, Datuk Abdul Aziz Salleh berkata, daripada jumlah itu, 138 individu ditahan atas kesalahan dadah, jenayah (35), kes imigresen (11) dan lain-lain kes (2).

Menurutnya, operasi melibatkan sekatan jalan raya, pemeriksaan, serbuan dan rondaan itu digerakkan bertujuan mencegah dan membanteras kejadian jenayah di kawasan hotspot pada tahap yang maksimum.

"Usaha ini juga bagi memastikan kawasan-kawasan tumpuan ramai sentiasa dalam keadaan selamat dan harmoni, meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap pasukan polis berkaitan pencegahan jenayah dan meningkatkan rasa selamat orang ramai.

"Sepanjang operasi bersepadu ini, tumpuan diberikan kepada pencegahan dan pembanterasan jenayah seperti pecah rumah, samun, ragut, curi kenderaan, dadah dan pendatang asing," katanya melalui satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata, sempena musim perayaan Krismas dan Sambutan Tahun Baru 2020 akan datang, pasukannya mengambil pendekatan sama bagi memerangi jenayah di semua daerah.

"Operasi Bersepadu ini dijalankan serentak di seluruh Malaysia bermula 18 Disember 2019 hingga 1 Januari 2020," katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, berdasarkan sasaran jenayah indeks kontinjen Pahang bagi tempoh kajian bermula 1 Januari hingga 31 Oktober lalu, daerah Pekan menunjukkan peningkatan kes sebanyak 32 kes atau 26.8 peratus.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, orang ramai diminta memberi kerjasama kepada pihak polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan jenayah menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP), telefon atau surat.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya memastikan rumah dalam keadaan berkunci dan menggunakan kunci tambahan untuk keselamatan bila ditinggalkan serta mengisi borang balik kampung untuk tindakan polis," katanya.