Ekonomi Malaysia diunjurkan kekal berdaya tahan pada 2020

Gambar hiasan. Gambar kecil: Guan Eng
Gambar hiasan. Gambar kecil: Guan Eng
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ekonomi Malaysia diunjurkan kekal berdaya tahan pada tahun depan, dipacu oleh permintaan domestik yang menggalakkan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, berlandaskan langkah dalam Belanjawan 2020, dasar telah ditetapkan untuk merangsangkan aktiviti ekonomi penting dalam menyokong sasaran pertumbuhan Malaysia selain memastikan pasaran negara terus rancak dan menarik di rantau yang pesat membangun ini.

“Pengumpulan dana dalam pasaran modal dijangka terus kukuh, didorong oleh pelbagai projek strategik. Oleh itu, industri perbankan pelaburan diharap dapat berperanan lebih besar dengan menumpukan kegiatan utama khususnya peningkatan modal, pembiayaan projek dan pengurusan pelaburan.

“Kerajaan komited menyediakan persekitaran kondusif untuk sektor swasta menerajui usaha menjana aktiviti ekonomi selain sektor kewangan untuk terus menjadi pemboleh pertumbuhan, memudahkan transformasi negara,” katanya semasa berucap di majlis makan malam tahunan Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia (MIBA) ke-40 di sini malam ini.

Beliau berkata, walaupun keadaan cabaran yang dihadapi bank pelaburan hari ini semakin sukar, ahli MIBA perlu memperkukuh lagi keupayaan untuk kekal berdaya saing dan mengikut perubahan keperluan supaya dapat memanfaatkan peluang baharu yang wujud.

Guan Eng berkata, selain itu, Malaysia terus melaksanakan kewangan Islam dalam pasaran kewangan domestik dan antarabangsa, di samping kekal sebagai peneraju pasaran sukuk yang menyumbang 50.4 peratus kepada keseluruhan sukuk global setakat akhir 2018.

"Bagi menggalakkan lagi ekosistem kewangan Islam dan meletakkan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan kewangan Islam, Kementerian Kewangan telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk merangka Pelan Tindakan Ekonomi Islam dan meningkatkan pemahaman mengenai kewangan Islam," katanya.

Beliau berkata, pasaran modal Malaysia telah menunjukkan pertumbuhan yang berdaya tahan bagi jangka panjang dalam persekitaran global yang membolehkan pasaran modal kekal sebagai sumber pembiayaan utama bagi ekonomi sebenar.

Artikel Berkaitan:

“Setakat September 2019, saiz pasaran modal Malaysia telah meningkat kepada RM3.2 trilion. Perkembangan ini tentunya baik bagi negara kita. Hari ini, institusi kewangan tradisional menghadapi persaingan yang semakin sengit berikutan perkembangan pesat dan penggunaan teknologi kewangan yang mengubah landskap pasaran kewangan di seluruh dunia.

“Kerajaan dan pengawal selia kewangan bertindak proaktif dengan memberi maklum balas kepada aliran pesat membangun ini selain meneroka kaedah untuk memudah cara inovasi di samping memodenkan sektor kewangan, pada masa sama memastikan perlindungan yang diperlukan juga diwujudkan,” katanya.

Guan Eng berkata, penting untuk peserta industri mengamalkan etika perniagaan yang baik, menggalakkan kebertanggungjawaban dan ketelusan untuk memelihara integriti pasaran kewangan Malaysia.

“Sehubungan ini, saya gembira dengan peranan penting ahli MIBA sebagai pengantara kewangan dalam ekosistem pembiayaan hijau, memudahkan terbitan bon hijau dan sukuk. Malaysia telah melaksanakan terbitan sukuk hijau pertama dunia untuk loji jana kuasa solar pada Julai 2017, dan selepas itu beberapa terbitan penting turut dibuat.

“Potensi pertumbuhan ekonomi hijau di Malaysia sangat luas dengan sejumlah besar peluang yang belum dimanfaatkan lagi. Pengantara kewangan boleh memainkan peranan pemangkin dalam pembangunan sektor ini dan menyokong usaha transformasi kerajaan ke arah ekonomi yang lebih lestari dan hijau,” katanya. - Bernama