X

Kindly register in order to view this article
!

Jeck Seng, ibarat Cina jual barang Melayu

Ahmad Yahaya
A
A

ALOR SETAR - Pas Kedah mempertahankan calon BN, Wee Jeck Seng yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Johor 16 November ini.

Pesuruhjayanya, Ahmad Yahaya turut menyamakan sokongan kepada Jeck Seng ibarat membeli ‘barangan Melayu-Islam yang dijual oleh jurujual Cina’.

Menurutnya, ia lebih baik berbanding membeli produk yang menggunakan nama Melayu-Islam (Bersatu), tetapi pemiliknya adalah orang bukan Islam (DAP).

“Undi Cina (MCA) di Tanjung Piai sama seperti membeli barangan Melayu-Islam yang dijual jurujual Cina. Walaupun dijual oleh Cina (MCA), pemiliknya adalah Melayu-Islam (UMNO-BN).

"Ini lebih baik daripada membeli produk menggunakan nama Melayu-Islam (Bersatu), tetapi pemiliknya bukan Islam (DAP). Jurujualnya Melayu (Bersatu), tetapi taukenya Cina (DAP),” katanya di Facebook miliknya malam tadi.

Ahmad dipercayai memuat naik kenyataan itu selepas kempen baru Vote Muslim First (Utamakan undi pada orang Islam) yang dimainkan di alam maya selepas BN memberi laluan kepada MCA dengan meletakkan Jeck Seng.

Pada PRK Tanjung Piai, serpihan BN iaitu Gerakan turut meletakkan calon bukan Melayu, Wendy Subramaniam manakala, serpihan Pas iaitu Barisan Jemaah Islamiah Semalaysia (Berjasa) mengumumkan akan meletakkan ‘calon Melayu berwibawa’ untuk merebut kerusi terbabit.

Pakatan Harapan (PH) pula menampilkan bekas imam Masjid Al-Muttaqin Johor Bahru serta Pengerusi Biro Agama Bersatu Johor, Karmaine Sardini sebagai calon.

Menurutnya, dalam konteks negara sistem demokrasi berparlimen, parti yang memenangi lebih banyak kerusi akan diangkat sebagai kerajaan bukan individu.

“Calon yang bertanding hanya mewakili partinya dan pengundi yang mengundi sebenarnya memilih parti, bukan calon. Walaupun calon PH Muslim tetapi beliau tidak boleh berbuat apa-apa di Parlimen jika kerajaan PH mahukan keputusan sebaliknya. Beliau tidak boleh membangkang keputusan PH walaupun perkara yang bercanggah dengan Islam,” katanya.

Menurutnya, ini kerana PH didominasi oleh DAP, ia hakikat yang tidak dapat dinafikan bahawa mengundi calon parti mana pun dalam PH bermakna mengundi DAP.

“Mengundi calon MCA daripada BN pun sama. Pengundi bukan undi individu tetapi mengundi MCA. Bolehkah undi MCA, parti non Muslim?

"Realitinya, MCA bukan parti dominan dalam BN, keputusan BN banyak berpihak kepada UMNO yang juga rakan taawun Pas. Walaupun calon MCA bukan Muslim tetap harus akur kepada keputusan BN,” katanya.

Katanya, mengundi calon MCA bermakna mengurangkan majoriti PH.

“Itu sudah cukup untuk perjuangan demokrasi. Jika diikutkan kemahuan kita mahu calon Melayu Muslim daripada UMNO dinobatkan sebagai calon Tanjung Piai tetapi menolak kesombongan PH lebih utama berbanding memenuhi kehendak calon Melayu,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!