Saman Mujahid, Kamarul Zaman selesai

Mujahid di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
A
A

KUALA LUMPUR- Tuntutan saman fitnah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa terhadap pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusof diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Ia berikutan Kamarul Zaman yang juga bekas Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) itu bersetuju memohon maaf dan menyatakan penyesalan di hadapan Hakim, Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad.

Dalam pernyataan maafnya, Kamarul Zaman menyatakan kekesalannya dengan artikel yang dimuatnaik pada 25 Mei 2017 di laman Facebooknya bertajuk Dr Mujahid antara kuda tunggangan terbaik DAP

"Saya dengan rendah diri dan sesuci hati dan tanpa paksaan memohon maaf kepada Datuk Seri di atas penerbitan artikel tersebut.

"Saya dengan ini menarik balik artikel itu dan berjanji tidak akan menerbitkan kembali artikel tersebut mahupun apa- apa kenyataan seumpamanya dengannya.

Terdahulu, peguam Mohd Fitri Asmuni yang mewakili Mujahid memaklumkan kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk menarik balik tuntutan utama dan tuntutan balas yang dikemukakan.

"Defendan (Kamarul Zaman) bersetuju untuk membacakan permohonan maaf itu dan menerbitkan di Facebooknya serta merta," katanya

Peguam Ahmad Kamal Abu Bakar yang mewakili Kamarul Zaman mengesahkan perkara itu.

Pada 13 Julai 2017, Mujahid memfailkan permohonan itu di sini dengan menuntut RM5 juta sebagai ganti rugi.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu juga menuntut perintah injunksi bagi menghalang defendan mengulangi perbuatan itu.

Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia