Separuh penerima kompaun dana 1MDB beri maklum balas

Latheefa Koya
Latheefa Koya
A
A
A

PUTRAJAYA - Separuh daripada 80 penerima kompaun dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM420 juta telah memberi maklum balas kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata, daripada jumlah itu, ada individu yang ingin membuat bayaran balik, namun tidak mampu membayar mengikut amaun ditetapkan SPRM.

"Ada juga yang mengatakan mereka bukan penerima akhir dana tersebut dan bersedia memberi kerjasama untuk mendedahkan penerima akhir kepada kami," katanya.

Menurutnya, SPRM akan meneruskan siasatan sehingga penerima akhir dana 1MDB dapat dikenal pasti.

"Biar kami buat siasatan lanjut sebab SPRM membuka kertas siasatan terhadap kesemua penerima kompaun," katanya ketika ditemui pemberita pada Malam Apresiasi Media-SPRM di sini hari ini.

Pada 7 Oktober lalu, Latheefa mendedahkan antara individu yang menerima notis kompaun itu adalah adik bekas Perdana Menteri, Datuk Nazir Razak; Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan; Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh dan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Jumlah keseluruhan dana tersebut adalah RM420 juta dengan purata individu terbabit menerima wang serendah RM500,000 sehingga RM25 juta, sementara entiti terlibat menerima wang sehingga RM134 juta.

Sementara itu, mengulas perkembangan terkini mengenai pembolosan sempadan akibat amalan rasuah, Latheefa berkata, pihaknya telah menerima maklumat daripada sumber yang mengatakan ada kes yang sama berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Kita mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk tampil beri maklumat," katanya.

Pada 18 Oktober, SPRM mendedahkan pihaknya mempunyai ribuan klip video yang memaparkan kerancakan aktiviti penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand dipercayai berpunca daripada rasuah.