Tangani segera masalah kekurangan guru

Mohd Azizee Hasan
Mohd Azizee Hasan
A
A
A

SEREMBAN - Kementerian Pendidikan (KPM) perlu bertindak segera menangani masalah kekurangan guru di sekolah-sekolah kebangsaan di negara ini sebagai persediaan menghadapi sesi persekolahan baharu tahun hadapan.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan berkata, KPM perlu mengambil langkah proaktif menempatkan graduan pendidikan universiti atau menambahkan bilangan guru interim.

“Kita mengambil maklum masalah kekurangan guru yang agak kritikal di sesetengah sekolah kebangsaan.

“Sebagai langkah strategik, KPM perlu membuat unjuran keperluan bilangan guru di bidang kritikal dengan mengambil kira bilangan IPG sedia ada dan tawaran bidang pengajian pendidikan,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian.

Menurutnya, langkah itu penting untuk mengelak daripada masalah sedia ada dan lambakan graduan pendidikan di bidang tidak diperlukan.

Beliau berkata, masalah kekosongan guru juga boleh diatasi bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran di semua sekolah berjalan dengan baik dan berkesan.

“Ini penting demi kelangsungan pendidikan di sekolah-sekolah terutama sekolah kebangsaan yang berada di luar bandar dan pedalaman,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, KPM ketika ini berdepan kemelut kekurangan warga pendidik bagi memenuhi permintaan guru sekolah di seluruh negara yang berpunca daripada ketidakpadanan antara kekosongan sedia ada di sekolah dan keluaran dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) setiap tahun.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 6,000 kekosongan direkodkan di sekolah kebangsaan, berbanding hanya 1,676 guru keluaran IPGM yang akan ditempatkan di sekolah pada November ini.

Teo berkata, masalah kekurangan guru itu boleh merencatkan proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah, sekali gus mengundang risiko pelajar tercicir daripada aliran pendidikan nasional.