Polis cari empat lelaki terbabit kes samun

Rakaman CCTV menunjukkan suspek membawa lari barang-barang dari hotel tersebut.
Rakaman CCTV menunjukkan suspek membawa lari barang-barang dari hotel tersebut.
A
A
A

BATU PAHAT - Polis daerah ini memburu empat lelaki bagi membantu siasatan selepas dipercayai terlibat dalam kes samun di sebuah hotel bajet, di Ayer Hitam, di sini, awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Razali Mohd Tahir berkata, pihaknya menerima panggilan telefon pada jam 6.20 pagi daripada orang awam mengenai kes samun ini.

"Ketika kejadian, mangsa yang bertugas di kaunter pendaftaran terdengar bunyi loceng pintu masuk hotel dan terus membukanya, namun sebaik pintu dibuka, salah seorang suspek terus mengacukan parang ke leher rakan mangsa serta merentap rantai yang dipakainya.

"Sejurus selepas itu, dua lagi rakan suspek terus meluru masuk ke dalam hotel bajet tersebut dan menyamun manakala seorang lagi menunggu di luar hotel," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, beberapa barangan berjaya dilarikan antaranya sebuah motosikal Yamaha 125Z berwarna biru, televisyen LCD 32 inci jenama Sharp dan wang tunai berjumlah RM350.

Katanya, seorang mangsa wanita juga turut membuat laporan polis mendakwa dirinya dicabul oleh salah seorang suspek yang terlibat dalam kes samun ini selain terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di hotel tersebut.

"Susulan daripada kejadian berkenaan, polis menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat dan memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes samun ini untuk tampil," katanya.

Laporan atau maklumat berkenaan boleh dilakukan di balai polis berhampiran atau menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat iaitu 07-434 999.

Artikel Berkaitan: