Selangor salur dana RM10 juta perkuat Merah Kuning

Amirudin ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2020 hari ini. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Amirudin ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2020 hari ini. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memperuntukkan RM10 juta untuk memperkuatkan pasukan Selangor bagi musim 2020.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, peruntukan itu merupakan dana permulaan kepada pasukan terbabit sebagai sokongan padu kepada kepimpinan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) bagi mengembalikan kegemilangan dan kejayaan pasukan Red Giants.

"Menjelang tahun 2020, penstrukturan semula pasukan bola sepak PKNS dan Selangor FA akan dilaksanakan untuk memperkuatkan pasukan Merah Kuning," katanya dalam Pembentangan Belanjawan Selangor 2020 di sini hari ini.

Katanya, sukan bola sepak merupakan sukan nombor satu di negeri ini kerana mendapat sokongan padu jutaan rakyat negeri ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri juga meluluskan peruntukan sebanyak RM9.24 juta bagi aspek pembangunan dan menaik taraf infrastruktur sukan pada tahun depan.

"Keutamaan diberikan kepada aspek pembangunan sukan dengan jumlah peruntukan RM7 juta.

"Ini adalah kerana sukan adalah salah satu faktor utama yang telah melonjakkan nama Selangor, selain dikenali juga sebagai negeri pelopor industri utama di Malaysia," katanya.

Beliau memberitahu, Selangor berjaya melahirkan ramai atlet termasuklah atlet para yang berjaya mengharumkan nama negara di pentas dunia.

Artikel Berkaitan:

"Semenjak penganjuran Sukan Malaysia (Sukma), Selangor telah mempamerkan pencapaian yang cemerlang dengan mendahului negeri-negeri lain.

"Sebagai contoh, Selangor juga telah merangkul gelaran juara semasa Sukma XVIII Sarawak 2016 dengan jumlah keseluruhan kutipan pingat sebanyak 195 pingat (61 emas, 71 perak dan 63 gangsa)," katanya.

Katanya, peruntukan berkenaan akan digunakan sepenuhnya sebagai persiapan menjelang Sukma 2020 dengan matlamat untuk memastikan Selangor merampas takhta sebagai juara keseluruhan.