Kedah tarik pelabur asing, usaha keluar dari negeri miskin

Mukhriz (tiga dari kiri) ketika melancarkan National Fiberisation and Connectivity Plan (NFCP) Peringkat Kedah pada Kedah Ekspo Digital 2019 di Aman Sentral, di sini hari ini.
Mukhriz (tiga dari kiri) ketika melancarkan National Fiberisation and Connectivity Plan (NFCP) Peringkat Kedah pada Kedah Ekspo Digital 2019 di Aman Sentral, di sini hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri menyasarkan kemasukan pelaburan asing RM10 bilion bagi keseluruhan 2019 bagi mengeluarkan Kedah daripada status negeri miskin.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, bagi merealisasikan matlamat tersebut, pelbagai persiapan diambil demi menarik kedatangan pelabur-pelabur asing yang boleh membawa jumlah pelaburan bernilai berbilion ringgit.

Menurutnya, sehingga kini, Kedah telah mencatatkan kemasukan pelaburan bernilai RM7.71 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun.

"Kesungguhan itu dapat dilihat melalui data-data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang menunjukkan bahawa Kedah mencatatkan kemasukan pelaburan bernilai sebanyak RM7.71 bilion dalam tempoh berkenaan.

"Sasaran kita bagi keseluruhan tahun 2019 adalah sebanyak RM10 bilion dalam nilai pelaburan," katanya ketika memberi ucapan pada Majlis Perasmian Kedah Ekspo Digital 2019 di Aman Sentral, di sini hari ini.

Katanya, kerajaan negeri melakukan segala usaha demi membawa masuk pelabur-pelabur yang diyakini mampu mengeluarkan negeri ini daripada status negeri miskin pada masa akan datang.

Beliau menjelaskan, kerajaan benar-benar berusaha memperbetulkan keadaan sejak sekian lama yang memperlihatkan peluang-peluang kerja terlepas ke tangan warga asing.

Sehubungan itu, pihaknya berharap bahawa kerjaya berkualiti tinggi yang mendatangkan pendapatan lumayan ini diisi anak-anak tempatan.

Artikel Berkaitan:

"Hakikatnya, ramai anak Kedah yang berbakat dan berkemahiran tinggi bekerja di negeri-negeri lain kerana ketika ini, tiada peluang pekerjaan yang sepadan dengan kemahiran mereka di negeri sendiri," katanya.

Mukhriz berkata, semua pihak termasuk ibu bapa harus berganding bahu dan bekerjasama dari sekarang bagi merealisasikan impian itu termasuk menanam minat anak terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Katanya, kerajaan negeri sendiri turut mengambil inisiatif dengan menjalin kerjasama bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyediakan pelan yang selari dengan National Fiberisation and Connectivity Plan (NFCP) seperti dinyatakan dalam pembentangan Belanjawan Kedah 2020 pada 20 Oktober lalu.

Antaranya, meningkatkan liputan jalur lebar yang menyeluruh dan pantas mencecah 500mbps khasnya di kawasan ibu negeri serta kawasan industri terpilih menjelang 2021, selain meningkatkan rangkaian gentian optik meliputi 70 peratus kawasan kemudahan awam menjelang 2022.

Beliau berkata, sebuah jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Infrastruktur Telekomunikasi Negeri juga akan ditubuhkan bagi menyelaras dan memudah cara pembangunan infrastruktur telekomunikasi di negeri ini.