Adik didakwa menyamar tipu kakak RM61,500

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini atas pertuduhan menipu kakak kandungnya dengan menyamar sebagai “ah long” sehingga kerugiaan RM61,500, pada Disember lepas.

Johari Mokhtar, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Haslinda A.Raof.

Dia didakwa menipu Rogayah, 57, dengan memperdaya untuk mempercayai tertuduh adalah “ah long” sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM61,500 kepadanya melalui akaun bank di sebuah premis di Jalan AU 2A Taman Sri Keramat di sini pada 6 petang, 17 Disember lepas.

Johari dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene menawarkan jaminan RM15,000 manakala Johari yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah atas alasan tidak bekerja.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 22 Feb untuk sebutan semula kes.

Difahamkan mangsa menerima mesej daripada tertuduh bahawa dia telah diculik oleh “ah long” kerana berhutang dan meminta mangsa memberi wang RM61,500 untuk menyelesaikan hutang itu setelah kononnya “ah along” telah mengurung dan menculiknya.- Bernama

Artikel Berkaitan: