Modal tambahan RM30 juta untuk Hijrah Selangor

Amirudin ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2020. - Foto: Asril Aswandi Shukor
Amirudin ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2020. - Foto: Asril Aswandi Shukor
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM30 juta kepada Yayasan Hijrah Selangor bagi memenuhi keperluan dana modal tambahan yang menyasarkan 3,000 usahawan baharu tahun depan.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, sejak penubuhannya, yayasan tersebut telah menerima dana program berbentuk geran berjumlah RM139 juta dan RM75 juta pinjaman tanpa faedah daripada kerajaan negeri.

Menurutnya, dengan jumlah kadar bayaran balik pinjaman melebihi 80 peratus, Hijrah Selangor berjaya menjana dana pusingan untuk menambahkan lagi jumlah pinjaman, seterusnya menambahkan bilangan usahawan baharu.

“Sehingga 31 Ogos lalu, Hijrah Selangor telah menyalurkan pinjaman sebanyak RM460 juta kepada seramai 46,352 usahawan dengan bilangan pinjaman sebanyak 61,196 pinjaman.

“Rekod prestasi pinjaman menunjukkan seramai 37,163 usahawan dengan nilai pinjaman RM322,893,000 sedang aktif membuat bayaran balik pinjaman masing-masing, manakala 9,189 usahawan telah selesai lunas pinjaman dan akan membuat pinjaman ulangan,” katanya.

Beliau berkata, modal tambahan diperuntukkan berikutan sambutan menggalakkan dan keperluan usahawan kecil yang sentiasa memerlukan modal untuk melonjakkan status perniagaan mereka.

Dalam pada itu beliau berkata, Yayasan Hijrah Selangor turut menubuhkan sebuah koperasi untuk memberi manfaat kepada usahawan Hijrah dengan mewujudkan rantaian perniagaan.

“Sehingga kini, seramai 11,325 orang telah menjadi ahli dengan dana terkumpul sehingga kini sebanyak RM5.7 juta.

Artikel Berkaitan:

“Antara projek yang dijalankan ialah penjualan trak makanan, pembelian dan penjualan getah beku, penjualan peralatan perniagaan dan pertanian melalui Kohijrah Shop,” katanya.