Peminta sedekah pukul kepala penguat kuasa JKM

Gambar hiasan (Gambar kecil: Baharudin)
A
A

DUNGUN - Seorang peminta sedekah bertindak memukul kepala penguat kuasa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan sebatang besi akibat berang ditegur meminta sedekah, dalam kejadian di Jalan Sura Gate di sini kelmarin.

Kejadian berlaku ketika anggota penguat kuasa JKM sedang membuat operasi bersepadu pengemis dan gelandangan di sekitar daerah ini dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan lain, kira-kira jam 6.15 petang.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sebelum itu, lelaki berusia 48 tahun dilihat sedang mengetuk cermin kereta orang awam untuk meminta sedekah berhampiran sebuah kedai di lokasi kejadian.

Menurutnya, mangsa berusia 32 tahun bersama beberapa rakan setugasnya menghampiri suspek sebelum mengarahkannya berhenti berbuat demikian.

"Bagaimanapun, suspek enggan memberi kerjasama apabila cuba melarikan diri sebelum bertindak agresif dengan memukul kepala mangsa dengan besi yang dijadikan sebagai tongkat.

"Akibat pukulan kuat itu, mangsa mengalami kecederaan di kepala termasuk sakit dan pening. Seterusnya, suspek ditahan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Baharudin berkata, suspek kini direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam ketika menjalankan tugasnya.