X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada tempat bagi pegawai tidak berintegriti

Mazlan Mansor
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada tempat dalam pasukan bagi mana-mana pegawai dan anggota polis yang ingkar arahan dan tidak berintegriti ketika menjalankan tugas.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, selain tindakan tatatertib Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga boleh membuang mereka yang ingkar daripada terus berkhidmat.

“Ia selaras dengan fokus utama digariskan Ketua Polis Negara (Tan Sri Abdul Hamid Bador) iaitu untuk meningkatkan integriti dan akauntabiliti dalam pasukan PDRM.

"Mana-mana pegawai dan anggota polis yang masih berdegil akan dikenakan tindakan sekeras-kerasnya termasuk dibuang daripada perkhidmatan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penutup Seminar Ketua Polis Daerah 2019 di Maktab PDRM di sini hari ini.

Mazlan berkata, beliau percaya ketua polis daerah sudah mengambil tindakan yang baik bagi memastikan integriti dalam kalangan pegawai dan anggota seliaannya.

“Memang ada pegawai dan anggota polis yang telah diambil tindakan tetapi masih ada yang ingkar,” katanya.

Sejumlah 156 ketua polis daerah dari seluruh Malaysia menghadiri seminar, yang diadakan selama tiga hari dan berakhir hari ini.

Mengenai pengisian seminar, Mazlan memaklumkan program menjurus kepada perbincangan pelbagai isu semasa dan dasar yang digariskan pucuk pimpinan untuk dilaksanakan di peringkat daerah.

Selain isu integriti dan disiplin, fokus lain yang diberi perhatian adalah mempertingkat tahap sistem penyampaian perkhidmatan dan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang dilihat tepat pada masanya.

“Kami mahu Ketua Polis Daerah meningkatkan urus tadbir dan tahap perkhidmatan kepada masyarakat, mereka perlu lebih respons dalam memberikan khidmat mereka kepada masyarakat terutamanya dalam proses siasatan kes dan laporan.

“Saya percaya masih ada lagi masyarakat yang terkilan khususnya daripada sudut siasatan, perkembangan kes dan sebagainya. Sebab itu kita mahu mereka berhubung terus dengan masyarakat,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!