Warga kota diajak bersama hidupkan Kuala Lumpur

Perancangan Kuala Lumpur berasaskan komponen Sistem Pelan Struktur yang mengikut peruntukan Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 (Akta 267). - Foto DBKL
Perancangan Kuala Lumpur berasaskan komponen Sistem Pelan Struktur yang mengikut peruntukan Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 (Akta 267). - Foto DBKL
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perancangan Kuala Lumpur adalah berasaskan komponen sistem Pelan Struktur yang mengikut peruntukan Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 (Akta 267).

Akta itu memerlukan Datuk Bandar menyediakan pelan pembangunan bagi memandu pembangunan di Kuala Lumpur dengan merangkumi dua pelan utama iaitu Pelan Struktur dan Pelan Tempatan.

Pelan Tempatan juga boleh berada dalam bentuk pelan kawasan tindakan. Pelan pembangunan itu menggantikan Pelan-pelan Pembangunan Lengkap 1039, 1040 dan 1041 yang diwartakan mengikut peruntukan Ordinan No. 46 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970.

Pelan Tempatan Kuala Lumpur yang pertama dikenali sebagai Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 (PBRKL 2020) yang diwartakan pada 30 Oktober 2018 dan mempunyai tempoh pelaksanaannya sehingga penghujung tahun 2020.

Berdasarkan peruntukan di bawah Akta Perancangan Wilayah Persekutuan 1982 (Akta 267), perubahan Pelan Tempatan boleh dilaksanakan selepas diwartakan.

Ia merujuk kepada peruntukan seksyen 17 (1) di mana ‘Datuk Bandar Kuala Lumpur boleh bila-bila masa membuat cadangan untuk mengubah, menambah, menyemak, memansuhkan atau menggantikan keseluruhan atau sebahagian daripada Pelan tempatan itu’.

Dalam tempoh pelaksanaan PBRKL 2020, DBKL menerima beberapa permohonan perubahan untuk meminda dan menyelaras semula zon guna tanah daripada pihak pemilik tanah dan pemaju.

Potensi Kuala Lumpur sebagai Pusat Pertumbuhan Ekonomi Utama dan pembangunan semasa mendorong pemilik tanah atau pemaju untuk menukar dan menyelaras semula kegunaan tanah ke arah corak dan tren pembangunan yang lebih baik.

Keperluan perubahan PBRKL2020 antaranya untuk menyelaraskan semula zon guna tanah bagi mendapatkan kegunaan tanah yang terbaik.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, penyelarasan dibuat berdasarkan syarat nyata seperti tercatat di dalam hak milik tanah.

Perubahan kepada PBRKL2020 juga dibuat selaras dengan galakan pembangunan berorientasikan transit yang boleh memberi sokongan kepada sistem pengangkutan

awam, sekali gus menyokong hasrat Kuala Lumpur 2040 bagi menggalakkan warga kota menggunakan pengangkutan awam.

Perubahan Pertama Pelan Bandaraya Raya Kuala Lumpur 2020 menyokong konsep pembangunan bercampur, di mana komuniti yang tinggal di suatu pembangunan, bekerja dan mendapatkan keperluan harian serta beriadah di kawasan sama tanpa melakukan banyak pergerakan yang menjana pertambahan trafik.

Ia juga sejajar dengan hasrat ‘low carbon society blue print’ untuk mencapai 70 peratus pengurangan karbon di Bandar Kuala Lumpur sehingga tahun 2030.

Zon Strategik, Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020. - Foto DBKL
Zon Strategik, Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020. - Foto DBKL

Untuk makluman, Draf Perubahan Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 (DPPBRKL2020) yang pertama itu akan melibatkan tiga lot tanah yang terletak di dalam Zon Strategik Wangsa Maju-Menjalara, Zon Strategik Bukit Jalil-Seputeh dan Zon Strategik Bandar Tun Razak-Sg Besi.

Proses hebahan dan penyertaan awam bagi Draf Perubahan Pelan Bandar Raya 2020 (DPPBRKL2020) pertama akan di adakan selama sebulan bermula 1 November 2019 sehingga 2 Disember 2019.

Salur pandangan, cadangan dan idea

Warga kota dialu-alukan untuk memeriksa DPPBRKL2020. Pandangan dan cadangan serta idea boleh dibuat melalui surat, memorandum atau Borang Pandangan Awam yang disediakan boleh dikemukakan kepada Pengarah Jabatan Perancangan Bandaraya, Tingkat 13, Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut.

Pada masa sama DBKL juga di dalam proses menyediakan Pelan Pembangunan Kuala Lumpur baharu dikenali sebagai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 dan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 yang telah bermula pada awal 2019.

DBKL berbesar hati menjemput semua warga kota memberi pandangan dan cadangan serta idea bagi perancangan Kuala Lumpur 2040.

Semua pandangan dan cadangan serta idea boleh disalurkan secara bertulis melalui emel di alamat klmycity2040@gmail. com atau menerusi Facebook ‘Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040’

DBKL menjemput semua warga Kuala Lumpur bersama-sama merancang untuk masa hadapan Kuala Lumpur.

Selain mewujudkan interaksi di antara DBKL dan warga kota, proses penyertaan awam itu juga memberi peluang kepada masyarakat untuk bersama- sama melibatkan diri dan menyumbang untuk perancangan serta pembangunan bagi menghidupkan bandar raya Kuala Lumpur.

Ini adalah penting untuk memupuk rasa cinta dan tanggungjawab kepada Bandaraya Kuala Lumpur.