'Takdir kita sama dik'

Perkongsian Siti Noor Safura di Twitter miliknya.
Perkongsian Siti Noor Safura di Twitter miliknya.
A
A
A

SHAH ALAM - "Takdir kita sama dik, jalan cerita perginya keluarga awak pun sama macam jalan cerita akak. Umur awak 2 tahun pun sama dengan umur akak. Akak dah lalui dan percayalah, kau akan kuat lalui semua ni," kata Siti Noor Safura Alias, 22 di Twitternya.

Siti Noor Safura berkongsi kisah kehilangan ibu bapanya ketika menatap gambar Muhammad Arfan Ziqri, 1 tahun 10 bulan, yang kehilangan kedua-dua ibu bapanya Muhammad Syakiran Shamsuddin, 30, dan Nurul Ashikin Kamaruddin, 27, dalam kemalangan 29 Oktober lalu sehingga menjadi yatim piatu sekelip mata.

Bercerita lanjut kepada Sinar Harian katanya, Safura berada di pusat asuhan kanak-kanak ketika ibu bapanya meninggal dunia akibat nahas iaitu dua minggu selepas sambutan hari lahirnya yang kedua.

"Mereka meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Jalan Batang Kali Ulu Yam pada 17 Disember 1999 dan hari jadi saya pada 1 Disember," katanya.

Siti Noor Safura bersama nenek yang juga dipanggil mak ketika meraikan tamat pengajian Diploma Komunikasi dan Media di UiTM Rembau.
Siti Noor Safura bersama nenek yang juga dipanggil mak ketika meraikan tamat pengajian Diploma Komunikasi dan Media di UiTM Rembau.

Menurutnya, selepas peristiwa itu, mahasiswa Universiti Tekonologi Mara (UiTM) Shah Alam menumpang kasih dengan nenek, Sarumi Sokim, 66, di Perak.

Mengambil jurusan penerbitan, gadis itu mendedahkan, ada kalanya dia tidak kuat kerana merindui belaian kasih sayang seorang ayah dan ibu sambil memberitahu timbul perasaan cemburu ketika di sekolah rendah apabila rakan-rakannya diambil ibu bapa masing-masing waktu pulang sekolah.

"Bila dah mula masuk sekolah menengah baru faham, tu semua takdir saya. Saya percaya ALLAH ada perancangan terbaik untuk saya.

Artikel Berkaitan:

"Bila rindu mula datang, saya akan menangis, saya akan mengadu dengan nenek," katanya pernah bertemu arwah ibu ayahnya di dalam mimpi.

Siti Noor Safura bersama ahli keluarga sebelah ibunya.
Siti Noor Safura bersama ahli keluarga sebelah ibunya.

Dalam masa sama katanya, dia turut bersyukur kerana dikelilingi oleh ahli keluarga yang sangat menyayanginya.

"Saya takut benda ini akan melemahkan saya, namun Alhamdulillah, hingga hari ini, saya dikelilingi orang yang sangat sayang pada saya. Saya bersyukur ALLAH kurniakan orang yang ikhlas dengan saya," katanya.

Kini Siti Noor Safura melanjutkan pelajaran di UiTM Shah Alam dalam semester terakhir selepas tamat pengajian diploma di UiTM Alor Gajah sebelum berpindah ke UiTM Rembau dalam jurusan Komunikasi dan Media.

Siti Noor Safura tamat pengajian Diploma Komunikasi dan Media di UiTM Rembau.
Siti Noor Safura tamat pengajian Diploma Komunikasi dan Media di UiTM Rembau.