Dasar Kebersihan Negara bakal dilancarkan

Zuraida Kamaruddin
Zuraida Kamaruddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dasar Kebersihan Negara akan dilancarkan Ahad ini (3 November) sebagai garis panduan bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersih dalam usaha mencapai taraf negara maju.

Dasar yang memberi tumpuan kepada kebersihan, kesejahteraan hidup dan kelestarian alam sekitar ini dijadual dilancarkan di PPR Tehel, Melaka oleh Ketua Menteri Melaka Adly Zahari.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin berkata, inisiatif itu bertujuan mewujudkan masyarakat yang membudayakan amalan kebersihan demi kesejahteraan hidup dan kelestarian alam sekitar.

“Sudah tiba masa untuk kita memberikan satu garis panduan dan hala tuju bagaimana untuk menguruskan sisa pepejal negara, sampah daripada ‘sisa fizikal' daripada PBT, sampah seperti logam skrap, sisa pembinaan, sisa botani dan e-sisa.

“Ini semua kita adakan garis panduan dalam dasar ini agar pengurusan sampah di negara ini lebih menyeluruh dan kondusif,” katanya dalam sidang media di Parlimen pada 29 Oktober.

Zuraida berkata, pelaksanaan dasar ini memfokuskan kepada lima kluster iaitu kesedaran mengenai kebersihan; kelestarian alam sekitar; ekonomi kitaran; tadbir urus dan penguatkuasaan serta modal insan yang berkualiti dan berkemahiran.

Sebanyak 14 strategi dan 91 pelan tindakan telah dirangka untuk mencapai objektif melalui perincian pelaksanaan oleh Kerajaan Persekutuan, pihak berkuasa negeri, kerajaan tempatan dan agensi lain.

Melalui dasar ini, pelaksanaan Extended Producer Responsibility (EPR) akan dikenakan ke atas syarikat-pengeluar yang mengimport barangan yang boleh dikitar semula.

Artikel Berkaitan:

"Banyak negara maju yang telah melaksanakan (EPR) ini dan ia bermaksud pengeluar yang buat pembungkusan botol kita letakkan sedikit harga di situ, kita akan kutip botol itu dan pulangkan kepada mereka.

"Mereka akan gunakan balik (botol) untuk pembungkusan mereka, (maka) ini akan dilaksanakan di negara kita," jelas Zuraida.

Mengambil contoh model pelaksanaan EPR negara Taiwan dan Singapura, beliau berkata, satu peraturan akan digubal bagi meletakkan EPR sebagai syarat kepada syarikat pengeluar termasuk pengimport melalui pelan pelaksanaannya.

Zuraida memaklumkan pihaknya akan mengkoordinasi syarikat-syarikat konsesi seperti SWCorp berkenaan mekanisme pengumpulan sampah-sampah yang boleh dikitar semula serta kaedah pembayarannya.

Selain itu Zuraida berkata, melalui dasar ini, penguatkuasaan 'khidmat komuniti' dijangka bakal diperkenal bagi menggantikan denda untuk mendidik dan memberikan kesedaran lebih tinggi kepada masyarakat.

"Kalau kita nak kenakan denda duit dan sebagainya mungkin perkara yang ringan bagi mereka, mereka boleh bayar tetapi (denda ini) tidak menukarkan budaya dan sikap mereka.

"Kita mungkin mencari kaedah-kaedah sedemikian untuk memastikan setiap denda atau hukuman itu membuat mereka mendapat kesedaran untuk mendidik diri agar tidak membuang sampah merata-rata, ini yang penting," katanya.

Sebagai peringkat permulaan, sebanyak 196 PPR di seluruh negara terlibat bagi pelaksanaan dasar ini.

Pelaksanaan dasar ini akan bermula pada tahun hadapan sehingga tahun 2030 dengan semakan semula pada tahun 2025. - Bernama