Cuti bersalin 90 hari: Ibu lebih masa bersama bayi

TEMPOH cuti bersalin selama 90 hari memberi peluang kepada kaum ibu melaksanakan penyusuan susu badan secara eksklusif dalam tempoh yang panjang.
TEMPOH cuti bersalin selama 90 hari memberi peluang kepada kaum ibu melaksanakan penyusuan susu badan secara eksklusif dalam tempoh yang panjang.
A
A
A

ISU tempoh cuti bersalin dilanjutkan 90 hari hangat diperdebatkan dalam kalangan masyarakat pada bulan lalu.

Ia susulan pengumuman Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada pembentangan Belanjawan 2020 yang menyatakan kerajaan akan meneliti semula Akta Kerja 1955.

Kajian berkenaan meliputi empat perkara antaranya memanjangkan tempoh cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari berkuat kuasa mulai tahun 2021.

Menurut Nurhafizah Mohammad, 35, tempoh berpantang adalah memenatkan. Ia ibarat serampang dua mata yang mana dalam fasa seseorang wanita itu berhempas-pulas menyembuhkan luka dan memulihkan badan sendiri di samping perlu peka kepada kesihatan dan kehendak bayi masing-masing.

Jelas beliau, masih segar dalam kotak memorinya tarikh 6 Januari 2018. Detik itu merupakan hari keempat beliau bergelar ibu kepada bayi lelaki bernama Mohammad Raid Mohd Ridzuan.

Menurut wanita berusia 35 tahun tersebut, perasaannya bercampur-baur apabila dibenarkan pulang ke rumah selepas menjalani proses rawatan bersalin di Hospital Selayang, Batu Caves, Selangor.

"Sejujurnya, pada hari berkenaan saya tidak keruan. Mana tidaknya, sebaik sahaja keluar dari wad, tugas penjagaan anak terletak pada bahu saya dan suami, Mohd Ridzuan Abu sepenuhnya.

"Sekurang-kurangnya di wad sebelum ini, hal pengurusan bayi dibantu jururawat bertugas. Apatah lagi, ia merupakan pengalaman pertama saya menjadi ibu dan banyak perkara baharu perlu dipelajari dan dipraktikkan," katanya kepada Femina baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

NURHAFIZAH (kiri) berpeluang memperoleh cuti bersalin selama empat bulan semasa melahirkan anak lelakinya, Mohammad Raid pada tahun lalu.
NURHAFIZAH (kiri) berpeluang memperoleh cuti bersalin selama empat bulan semasa melahirkan anak lelakinya, Mohammad Raid pada tahun lalu.

Justeru, enggan membiarkan keresahan membelenggunya, Nurhafizah yang bertugas sebagai penolong pengurus ruang sewa di sebuah pusat beli-belah di Mutiara Damansara, Selangor memutuskan untuk menjalani tempoh berpantang di rumah ibunya.

Menurut Nurhafizah, sepanjang tempoh berkenaan baik urusan menyediakan makanan pantang mahupun memandikan dan aktiviti menjemur anaknya yang mengalami masalah jaundis (kuning), semuanya dibantu oleh arwah ibu, Rusni Ramli.

"Pada awal dua minggu, saya sedikit kekok terutamanya untuk memegang bayi bagi menyempurnakan proses menyusu badan dan memandikan. Namun begitu, berkat tunjuk ajar daripada arwah mama, hari demi hari saya semakin selesa melakukannya sendiri," jelasnya yang memperoleh kelebihan cuti bersalin selama 121 hari daripada pihak majikan.

Tambah graduan Ijazah Sarjana Muda Penyiaran, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor itu, beliau bersyukur apabila majikannya bertolenrasi dalam hal kebajikan khususnya melibatkan staf cuti bersalin.

Ujarnya, meskipun pada pandangan mata kasar, 120 hari itu kelihatan terlalu lama, tetapi dalam tempoh berkenaan pelbagai aktiviti dan kerja perlu dilaksanakan oleh kaum ibu.

"Tidak cukup rehat kami dibuatnya (ketawa). Misalnya, selepas anak tidur dek kekeyangan selepas menyusu badan, kami (para ibu) akan mengambil peluang melakukan kerja-kerja sampingan seperti mengepam susu badan atau menyusun keperluan bayi. Kadangkala, baru sahaja nak melelapkan mata, anak pula terjaga.

"Tambahan pula, pada bulan pertama dan kedua luka kesan pembedahan belum sembuh sehingga saya terpaksa berulang-alik ke klinik kesihatan untuk proses cuci luka.

"Bagaimanapun, alhamdulilah...memasuki bulan ketiga semuanya beransur pulih dan saya mampu kembali bekerja dalam kondisi mental dan fizikal yang baik selepas mendapat rehat selama empat bulan. Ini termasuklah, berpeluang menikmati momen bonding yang ekstra bersama anak tersayang," jelas beliau yang turut menzahirkan sokongan terhadap inisiatif kerajaan untuk meningkatkan tempoh cuti bersalin kepada 90 hari.

Penyusuan badan eksklusif

Sementara itu, bagi seorang bapa kepada seorang cahaya mata, Mohd Fikri Hamdan, 32, berpendapat, pendekatan kerajaan meneliti semula dalam memanjangkan tempoh cuti bersalin hingga tiga bulan, bukan sahaja menyuntik mood positif wanita, bahkan memudahkan golongan suami.

MOHD FIKRI
MOHD FIKRI

"Seperti kita sedia maklum, sesi berpantang bukanlah proses yang mudah khususnya buat wanita yang pertama kali bergelar ibu. Disebabkan, kurang pengalaman menguruskan bayi, maka mereka memerlukan sekurang-kurangnya tiga bulan untuk membiasakan diri dengan rutin baharu.

"Jika inisiatif (cuti bersalin 90 hari) itu dilaksanakan, para ibu berpeluang bermesra dan memberikan penyusuan badan secara eksklusif dalam tempoh lama. Bukan itu sahaja, mereka juga berkesempatan mengepam dan menyimpan stok susu badan bagi bekalan bayi tatkala kembali bekerja kelak," jelas bapa Nur Falisha Inara yang kini berusia tiga tahun.

Dalam pada itu, Mohd Fikri yang sedang menunggu kehadiran cahaya mata kedua turut memberitahu, tempoh cuti bersalin 90 hari membuka ruang buatnya dan isteri memilih penjaga ataupun taska yang terbaik.

"Ini bermakna, selesai berpantang secara tradisional selama dua bulan maka pada bulan ketiga kami boleh mencuba menghantar anak ke pusat jagaan. Setidak-tidaknya bayi tidak terkejut ‘berpisah’ dengan ibu secara drastik.

"Bagaimanapun, sekiranya bayi tidak serasi bersama penjagaan berkenaan, kami masih mempunyai masa untuk mencari pusat jagaan lain. Jika masalah seumpama ini diatasi dengan baik dalam tempoh isteri cuti bersalin, jadi para suami tidak perlu mengambil cuti tahunan.

"Cuti tahunan yang diperuntukkan disimpan untuk kegunaan masa depan seperti anak atau isteri kurang sihat,” katanya ketika ditemui Femina di Bangi, Selangor baru-baru ini.

Dalam perkembangan berkaitan, berikutan pengumuman cuti bersalin 90 hari itu turut mendapat perhatian pihak Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).

Insentif majikan

Berdasarkan rekod MEF, majikan disifatkan berdepan risiko menanggung peningkatan kos operasi hingga RM2.7 bilion setahun.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, majikan menjalankan perniagaan kecil adalah yang paling berisiko menanggung kesan berbanding majikan daripada syarikat besar.

Direkodkan di Malaysia, lebih 650,000 majikan terdiri daripada perniagaan kecil dan sebahagian besarnya menggajikan kurang daripada 10 pekerja.

Berbicara mengenai isu tersebut, Pengusaha Butik Psychedelic, Ridzal Mann Hashim menyatakan, hal berkenaan perlu diteliti daripada pelbagai aspek.

"Jika cuti bersalin selama 90 hari ini berkuat kuasa pada tahun 2021, kami berharap pihak kerajaan mewujudkan pemberian insentif kepada majikan yang meluluskan cuti kepada pekerja.

"Dalam sektor perniagaan kecil (mikro), lazimnya kami tidak mempunyai peruntukan bajet besar untuk menggaji pekerja yang ramai. Justeru, apabila seorang staf cuti bersalin dalam tempoh lama gaji mereka tetap berjalan dan kami perlu mengupah kru gantian. Tindakan ini sedikit sebanyak menganggu aliran kewangan.

"Sekiranya, kami tidak berbuat demikian beban tugas staf bercuti terpaksa ditanggung pekerja lain dengan gaji bulanan yang sama. Perkara ini akan menyebabkan kakitangan lain hilang motivasi untuk bekerja," jelasnya yang turut melahirkan kebimbangan pada masa depan pihak majikan takut menggajikan pekerja wanita, lantas menimbulkan isu diskriminasi terhadap golongan berkenaan.

Walhal, tutur Ridzal Mann golongan wanita juga adalah tulang belakang yang memainkan peranan utama dalam membantu pertumbuhan ekonomi negara.