Ajal ketika urus jenazah sahabat

Orang ramai cuba memberi bantuan CPR sebelum bantuan pasukan perubatan tiba. Pasukan perubatan tiba bagi membawa Allahyarham Amran ke hospital selepas jatuh pengsan. - Foto ihsan UKVJ
Orang ramai cuba memberi bantuan CPR sebelum bantuan pasukan perubatan tiba. Pasukan perubatan tiba bagi membawa Allahyarham Amran ke hospital selepas jatuh pengsan. - Foto ihsan UKVJ
A
A
A

KLANG - Sahabat hingga ke liang lahad. Itulah gambaran dapat diungkapkan terhadap seorang lelaki yang dilaporkan meninggal dunia sewaktu membantu menguruskan jenazah sahabatnya, Raja Azri Raja Mansor dalam kejadian di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang, kelmarin.

Difahamkan, sewaktu kejadian, Amran Hasan sedang membantu pasukan Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) menurunkan keranda jenazah sahabatnya itu ke liang lahad untuk dikebumikan di tanah perkuburan tersebut.

Pengasas UKVJ, Mohd Hirwan Aiyub berkata, bagaimanapun sewaktu Amran sedang menarik tali selepas keranda itu diturunkan, dia secara tiba-tiba jatuh pengsan berhampiran pusara rakan baiknya itu.

"Sebelum kejadian, Allahyarham Amran memang kelihatan sedih selepas pemergian sahabatnya itu dan selepas jenazah diturunkan, dia secara tiba-tiba jatuh ke belakang sewaktu sedang menarik tali yang digunakan untuk menurunkan keranda," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Susulan itu, Mohd Hirwan berkata, dia bersama beberapa orang awam kemudian mengalihkan mangsa dan cuba untuk memberi bantuan pernafasan (CPR) kepada Amran.

Katanya, Amran kemudiannya sedar seketika selepas mendapat bantuan CPR namun pernafasannya kembali perlahan selang beberapa minit.

"Arwah sempat sebut perkataan ambulans dan kemudian kakinya mula kejang dan mulutnya juga berbuih sebelum pernafasannya mulai perlahan," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Hirwan berkata, ambulans dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang kemudiannya tiba untuk membawa Amran ke hospital namun dia kemudiannya disahkan meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan ke sana.

Artikel Berkaitan:

Mohd Hirwan berkata, jenazah Amran kemudiannya diurus di HTAR sebelum dibawa pulang ke rumahnya yang terletak di Jalan Yadi Klang.

"Jenazah Allahyarham Amran dikebumikan bersebelahan pusara rakan baiknya itu pada hari yang sama," katanya.